Ramai terkandas di sempadan Malaysia-Thailand kerana tunggakan cukai, ini cara semak status perjalanan Imigresen sebelum ke luar negara. Rancangan sebahagian rakyat Malaysia untuk bercuti ke Thailand terpaksa dibatalkan apabila mereka gagal melepasi pemeriksaan Imigresen di sempadan kerana nama mereka terdapat dalam senarai hitam untuk keluar negara.
Pengarah Imigresen Kedah, Mohd Ridzzuan Mohd Zain, berkata antara masalah yang dihadapi adalah tunggakan cukai pendapatan, cukai kastam, pasport yang rosak, serta kes jenayah lama yang belum diselesaikan.
Beliau menjelaskan bahawa pihaknya telah mengesan 10 kes pasport rosak, termasuk pasport yang koyak, terkena air, hilang muka surat, dan contengan oleh kanak-kanak.
Bukan itu sahaja, terdapat juga 20 kes berkaitan tunggakan cukai (LHDN) dan sembilan kes membabitkan isu kastam.
“Untuk mengelakkan kekecewaan di saat akhir, kami menyeru semua rakyat Malaysia untuk menyemak status perjalanan mereka di portal Sistem Semakan Status Perjalanan Imigresen (SSPI) sebelum membuat sebarang perancangan ke luar negara.
“Anda hanya perlu memasukkan nombor MyKad untuk mengetahui jika ada sebarang sekatan yang dikenakan,” kata Mohd Ridzzuan dalam kenyataan hari ini.
Mohd Ridzzuan menjelaskan bahawa dalam suasana musim cuti sekolah ini, semakan awal status perjalanan adalah langkah penting untuk memastikan percutian yang dirancang tidak terganggu oleh masalah yang boleh dielakkan.
Antara yang terjejas adalah seorang pelancong dikenali sebagai Maznah, 45, dari Ayer Keroh, Melaka. Maznah terpaksa membatalkan hasratnya untuk menyertai rombongan Hari Keluarga di Thailand apabila diberitahu namanya tersenarai dalam sekatan perjalanan kerana gagal menjelaskan cukai pendapatan.
“Pegawai Imigresen memberitahu saya bahawa nama saya dalam senarai ‘black list’ kerana gagal menjelaskan cukai pendapatan.
“Saya memang teruja untuk makan tomyam di sana (Hatyai) selain bercuti dengan keluarga besar, tetapi tiba-tiba semuanya musnah kerana saya tidak sedar ada masalah cukai,” katanya.
Ramesh, 36, dari Gelang Patah, Johor, juga mengalami nasib malang apabila percutiannya bersama keluarga ke negara jiran terpaksa dibatalkan kerana pasport anaknya diconteng tanpa disedarinya.
Katanya, semua hotel dan penginapan sudah ditempah dan mereka merancang untuk bercuti di Hatyai selama tiga hari.
“Namun, sebaik sampai di kaunter, pegawai Imigresen memberitahu bahawa pasport anak saya rosak.
“Saya memang tidak perasan ada contengan pada pasport. Habis semua perancangan kami,” katanya.