Niat murni rakyat Malaysia mencari rezeki di luar negara bertukar episod ngeri

Niat murni rakyat Malaysia mencari rezeki di luar negara bertukar episod ngeri

Niat murni rakyat Malaysia mencari rezeki di luar negara bertukar episod ngeri.

Niat murni rakyat negara ini mencari rezeki di luar negara bertukar episod ngeri kerana bukan sahaja jasad mereka terkurung dan dipaksa bekerja, malah turut diseksa dengan kejam jika tidak menepati piawaian sindiket penipuan kerja.

Malah, lebih menyedihkan apabila ada mangsa wanita beragama Islam yang ditipu dipaksa tidur dengan lelaki beramai-ramai, dicabul selain menjamah makanan berlaukkan daging babi.

Jika mereka tidak menepati prestasi diharapkan, mereka berdepan hukuman sehingga ada dalam kalangan wanita dijual kepada sindiket lain untuk dijadikan pelacur.

Niat murni rakyat Malaysia mencari rezeki di luar negara bertukar episod ngeri

Selain itu, ada yang dibelasah dan direnjat dengan elektrik, dipaksa kurus untuk menjadi pelacur, malah organ turut diambil sindiket bagi jualan di pasaran gelap.

Lebih malang ada yang terbunuh ketika diseksa sebelum mayat dicampak dan dibiar tanpa ahli keluarga mengetahui nasib mereka.

Itu penderitaan rakyat negara ini yang menjadi mangsa penipuan pekerjaan apabila terkandas di Kemboja, Laos dan Myanmar selepas terpedaya dengan tawaran gaji lumayan diberi sindiket.

Mangsa yang mahu dikenali sebagai Elyn, 30-an, ketika menceritakan pengalamannya kepada Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Antarabangsa Malaysia (MHO) Datuk Hishamuddin Hashim berkata, ketika di Kemboja, dia dipaksa tidur bersama ramai lelaki dengan berpakaian seksi hanya kerana tidak mencapai sasaran dikehendaki.

Katanya, kejadian berlaku empat bulan lalu ketika dia dipaksa menjadi scammer oleh sindiket yang menawarkannya kerja dengan gaji lumayan di syarikat berkaitan komunikasi.

Menurutnya, ketika itu dia berasakan sudah tiada masa depan lagi kerana apa-apa sahaja boleh berlaku ke atas dirinya yang sebelum itu ditempatkan bersama mangsa wanita lain.

Sementara itu, Hishamuddin berkata, pihaknya menerima banyak aduan daripada keluarga meminta pihaknya menyelamatkan anak mereka terkandas di sana.

“Ada satu kes di mana lelaki itu sebelum ini bekerja dengan syarikat teknologi maklumat di Dubai namun apabila syarikat ditutup, dia ditawar sindiket kononnya untuk bekerja dalam bidang sama di Thailand dengan tawaran gaji lebih lumayan.

“Namun apabila tiba di Chiang Mai, Thailand, lelaki terbabit dikurung sebelum dibawa pihak sindiket ke Laos dan dipaksa bekerja sebagai scammer,” katanya.

Menurutnya, jika enggan, lelaki itu diseksa, malah jika hasil kerja tidak memuaskan, dia turut dibelasah ahli sindiket.

“Seorang lagi mangsa sehingga kini tidak dapat dihubungi ahli keluarga selepas pergi ke Dubai untuk bekerja.

“Mangsa berasal dari Labuan, Sabah ke Dubai untuk bekerja, namun hanya dapat berkomunikasi dengan keluarganya sebulan sahaja,” katanya.

Berkongsi cerita mengenai seorang mangsa yang terselamat, Hishamuddin berkata, lelaki terbabit mendedahkan dia diajak rakannya bekerja di luar negara dengan tawaran gaji ASD$1,100 (RM4,991).

“Rakannya itu mendakwa mereka akan bekerja dengan aplikasi pelaburan forex dan apabila tiba di sempadan Vietnam, dia dipaksa bekerja sebagai scammer.

“Dia turut memberitahu diseksa dan dipukul, malah tiga jarinya hampir putus, hidung berdarah, mata lebam dan kepala bengkak sehingga sukar untuk tidur,” katanya.

Menurutnya, lelaki terbabit bagaimanapun berjaya menyelamatkan diri dan pergi ke kedutaan Malaysia di sana sebelum dibawa pulang ke negara ini.

“Sindiket ini melihat kebolehan mangsa untuk mencari sasaran menipu di mana jika orang negara ini, sasarannya rakyat di negara ini dan jika fasih bahasa lain, mereka akan menyasarkan mangsa penipuan di negara terbabit,” katanya.

Beliau berkata, MHO berterima kasih kepada kerajaan kerana mengambil tindakan dan berharap kerjasama melalui Asean atau Asean+3 dapat menamatkan penindasan dilakukan.

“Kita sebenarnya lewat apabila ada kematian direkodkan dan tidak tahu berapa ramai menjadi mangsa perhambaan moden ini,” katanya.

Kementerian Luar dalam kenyataannya pada 21 September lalu memaklumkan 301 laporan membabitkan sindiket penipuan pekerjaan di luar negara diterima dengan mangsa dikatakan berada di Kemboja, Laos, Myanmar dan Thailand.

Daripada jumlah itu, seramai 168 orang berjaya diselamatkan dan pulang ke tanah air manakala 34 orang ditahan di depoh tahanan imigresen dan baki 99 orang lagi masih dikesan oleh pihak berkuasa negara berkenaan.

Harap dua anak pulang

“Saya masih berharap dua anak saya dapat pulang dengan selamat kerana sedih memikirkan nasibnya yang diseksa di sana malah turut direnjat dengan elektrik oleh sindiket terbabit,” kata seorang ibu mengharapkan dua anaknya dapat pulang dengan ke pangkuan keluarga.

Anak lelaki berusia 16 dan 30 tahun sebelum ini bekerja sebagai tukang masak di negara ini namun tertarik hendak ke Myanmar selepas ditawarkan gaji lumayan jika bekerja sebagai tukang masak di sana.

Wanita terbabit yang mahu dikenali sebagai Amy, 56, berkata, apabila anaknya ke sana mereka dikurung dan dipaksa bekerja sebagai scammer.

“Anak saya yang menghubungi saya secara sembunyi turut memberitahu diseksa dengan renjatan elektrik, selain darah diambil kemungkinan organnya akan diambil untuk dijual,” katanya.

Baca Lagi:

Lelaki terkejut jumpa batu berserta sampul berisi gambar seperti disihir ketika mancing bawah jambatan

Datuk kantoi rogol isteri cucu sehingga melahirkan anak

Dua remaja kantoi berzina, lari terlanjang bogel selepas kena serbu

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *