Lelaki mengaku tampar kekasih kerana tak balas mesej ‘Good morning sayang’

Photo of author

By Joe

Lelaki mengaku tampar kekasih kerana tak balas mesej ‘Good morning sayang’. Seorang penjaga stor mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan mencederakan teman wanitanya selepas bergaduh mengenai isu tidak membalas mesej yang dihantar melalui aplikasi WhatsApp, Khamis lalu.

Tertuduh, Muhamad Nurhaqimi Harun, 20 tahun, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca oleh jurubahasa di hadapan Majistret Suhaila Shafi’uddin.

Menurut pertuduhan, dia didakwa mencederakan teman wanitanya yang berusia 20 tahun dengan menamparnya di sebuah kedai haiwan peliharaan di Jalan Parit Bilal, di sini, pada jam 12.15 tengah hari, 10 Oktober lalu.

Lelaki mengaku tampar kekasih kerana tak balas mesej 'Good morning sayang'

Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, yang mana jika sabit kesalahan, boleh dipenjara selama setahun atau didenda sehingga RM2,000, atau kedua-duanya.

Berdasarkan fakta kes, kejadian berlaku ketika teman wanitanya menghantar makanan tengah hari ke tempat kerja tertuduh.

Siasatan polis mendapati berlaku perang mulut antara mangsa dan tertuduh kerana wanita itu tidak berpuas hati apabila mesej ‘Good Morning Sayang’ yang dihantarnya tidak dibalas.
Suasana menjadi tegang apabila tertuduh berang lalu menampar pipi kiri mangsa hingga menyebabkan kecederaan ringan.

Susulan kejadian itu, mangsa mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) di sini dan membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Farah Wahidah Mohd Sharip, manakala tertuduh diwakili oleh peguam Mohd Razak Shariff.

Selepas mendengar hujahan dan rayuan daripada kedua-dua pihak, mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM800 terhadap tertuduh atau penjara 14 hari jika gagal membayar denda tersebut.

Baca Lagi:
“Cantiknya tulisan” – Guru bukan Islam ajar tulisan Jawi raih perhatian
“Badan jer besar tapi takut jarum” – Lelaki menangis selepas kena cucuk dengan jururawat
Pemilik kelab bola sepak bergelar ‘Datuk’ ke penjara Kajang kerana gagal bayar tunggakan gaji RM1.4 juta