Iklan hon, bunyi siren boleh bahayakan orang ramai – Doktor beri pesanan ‘pedas’ buat stesen radio. Dalam perjalanan ke tempat kerja atau ke sesuatu lokasi, biasanya kita akan mendengar radio untuk memecahkan kesunyian di dalam kereta.
Secara amnya, kita boleh mendengar celoteh pengacara, lagu-lagu yang dimainkan, serta selingan iklan menerusi radio. Namun, satu perkara yang menarik perhatian adalah terdapat sesetengah iklan yang mengandungi bunyi siren atau hon yang dianggap tidak wajar untuk digunakan.
Seorang doktor yang dikenali sebagai Amirah Azizan telah membahaskan tentang iklan yang mengandungi bunyi hon kereta dan siren kecemasan yang dimainkan oleh sesetengah stesen radio, yang sebenarnya boleh membahayakan orang ramai.
Bagi beliau, bunyi iklan hon kereta tersebut telah mengganggu pemanduan kerana ada individu yang mudah terkejut atau melatah apabila mendengarnya. Seusai mendengar bunyi hon, kita selalunya akan tercari-cari punca dan merasa serba salah kerana takut menghalang laluan dan sebagainya.
Bukan itu sahaja, katanya, iklan yang menggunakan bunyi siren ambulans atau polis juga membuatkan pemandu terkejut dan mencari arah di mana bunyi itu datang kerana mahu memberi laluan secepat mungkin.
“Kamu radio, siapa yang dengar radio tengah baring kat rumah? Orang sekarang dengar radio dalam kereta,” katanya.
Dia turut menegaskan bahawa tiada guna dinobatkan sebagai stesen radio terbaik di Malaysia jika tidak peka dengan isu ini yang boleh membahayakan nyawa pengguna jalan raya secara tidak langsung.
Pesanan kepada stesen radio.
finally ada jugak orang pasal cakap benda ini. pic.twitter.com/Ls53h6EW6h
— ًِ (@bckupacc99) October 11, 2024
Menjengah ke ruangan komentar, ramai netizen menyokong pesanan ‘pedas’ yang diberikan oleh doktor itu kepada stesen radio di luar sana agar lebih peka dengan perkara berkenaan.
Ada juga sebahagian netizen yang berkongsi pengalaman mereka sendiri pernah terkejut dengan bunyi siren yang dimainkan secara tiba-tiba, menyebabkan pemanduan mereka terganggu.