PANAS !!! Muhyiddin dedah di Facebook siapa pengkhianat yang sebenar

SIAPA PENGKHIANAT?

1. Ada pemimpin UMNO menghasut orang Melayu supaya percaya saya pengkhianat.

2. Kononnya sayalah yang menyebabkan kerugian kepada orang Melayu apabila menubuhkan Bersatu dan bekerjasama dengan PKR dan DAP menjatuhkan UMNO.

3. Mereka cuba menutup hakikat sebenar bahawa UMNO dikhianati oleh bekas Presiden UMNO sendiri, iaitu Dato’ Seri Najib Tun Razak. Beliau membiarkan skandal 1MDB menjadi terlalu besar dan buruk sehingga majoriti rakyat membenci UMNO.

4. Beliau memecat saya sebagai Timbalan Perdana Menteri pada tahun 2015 hanya kerana menyarankan agar isu 1MDB disiasat secara telus. Saya sarankan demikian supaya ia tidak menimbulkan sebarang tanggapan buruk kepada kerajaan dan parti pada ketika itu.

5. Malangnya saranan saya dijawab dengan pemecatan dari kerajaan dan UMNO. Ingat, saya dipecat bukan kerana skandal rasuah mahupun salah laku moral.

6. Saya dipecat kerana meminta diadakan siasatan bagi memastikan mereka yang bertanggungjawab dalam kehilangan RM42 bilion wang 1MDB dibawa ke muka pengadilan.

7. Adakah orang Melayu telah lupa saat kita dimalu dan dipandang hina di seluruh dunia kerana skandal 1MDB? Apakah orang UMNO tidak tahu bahawa punca mereka kalah adalah kerana Dato’ Seri Najib menyeret parti dalam skandal beliau?

8. Jika saya dianggap pengkhianat kerana mendedahkan skandal 1MDB dan menubuhkan Bersatu untuk menentang kumpulan kleptokrat di dalam UMNO, saya rela dengan gelaran tersebut.

9. Kini terbukti perjuangan saya adalah benar. Mahkamah telah menjatuhkan hukuman bersalah ke atas Dato’ Seri Najib atas kesalahan pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram melibatkan dana SRC International yang ada hubung kait dengan 1MDB.

10. Jelas skandal 1MDB bukan satu fitnah. Bukan satu rekaan. Kerajaan Perikatan Nasional di bawah pimpinan saya telah mengutip semula lebih RM16 bilion wang dan aset berkaitan syarikat 1MDB yang telah diseleweng.

11. Kes 1MDB masih dibicarakan di negara kita. Keputusan Mahkamah Rayuan berhubung kes SRC International juga sedang dirayu di peringkat Mahkamah Persekutuan.

12. Selain kes 1MDB dan SRC International, terdapat beberapa kes pecah amanah dan pengubahan wang haram yang melibatkan pemimpin UMNO. Mereka ini digelar Kluster Mahkamah.

13. Ya, saya jadi Perdana Menteri kerana disokong oleh Ahli-ahli Parlimen termasuk daripada Kluster Mahkamah. Ada orang kata tidak malukah saya terima sokongan Kluster Mahkamah untuk jadi Perdana Menteri.

14. Saya tidak minta untuk jadi Perdana Menteri. Saya tidak pernah berkempen pun untuk jadi Perdana Menteri.

15. Saya hanya mengikut apa yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan. Apabila saya mendapat sokongan majoriti Ahli-ahli Parlimen, saya dilantik oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai Perdana Menteri. Maka sahlah pelantikan saya itu.

16. Selepas itu barulah saya sedar bahawa sokongan mereka itu sebenarnya ibarat pepatah ada udang di sebalik batu. Selang beberapa hari selepas saya dilantik menjadi Perdana Menteri, Kluster Mahkamah ini berjumpa saya meminta saya campur tangan dalam kes mereka supaya mereka dibebaskan.

17. Walaupun saya tahu kedudukan saya sebagai Perdana Menteri bergantung kepada sokongan mereka, saya katakan tidak kepada mereka kerana saya tidak mahu mengkhianati sumpah dan amanah jawatan saya sebagai Perdana Menteri.
18. Saya tidak sanggup menggadai prinsip perjuangan saya dan asas perjuangan parti saya semata-mata kerana mahu kekal berkuasa.

19. Saya juga tidak melantik sesiapa pun yang sedang didakwa di mahkamah atau sedang dalam siasatan pihak berkuasa untuk menjadi anggota Kabinet saya walaupun mereka berjawatan tinggi dalam parti UMNO.
20. Saya buat perkara yang betul, jadi buat apa saya berasa malu?

21. Sejak dari itulah bermulanya gerakan Kluster Mahkamah ini untuk menjatuhkan saya. Kalau saudara dan saudari masih ingat, sepanjang saya menjadi Perdana Menteri, UMNO yang dikuasai oleh Kluster Mahkamah menentang hampir setiap dasar dan inisiatif kerajaan Perikatan Nasional walaupun ia baik untuk rakyat. Gelagat mereka tidak ubah seperti pembangkang.

22. Saudara dan saudari tentunya juga masih ingat rakaman audio seorang Ahli Majlis Tertinggi UMNO yang bercakap dalam Mesyuarat MT UMNO pada bulan Julai 2021. Dia menggesa UMNO menarik sokongan kepada saya ketika kes-kes Covid-19 sedang meningkat. Kononnya apabila kes-kes Covid-19 telah menurun, kerajaan PN akan mendapat kredit dan sukarlah untuk UMNO melawan PN.

23. Itulah yang dilakukan oleh UMNO. Kira-kira sebulan selepas itu, 15 Ahli Parlimen UMNO menarik sokongan kepada saya dan jatuhlah Kerajaan Perikatan Nasional.

24. Mereka berharap apabila saya jatuh, mereka akan menguasai semula kerajaan. Dengan menguasai kerajaan mereka fikir masalah mereka boleh diselesaikan.

25. Tetapi perancangan mereka masih belum berhasil kerana PN masih lagi sebahagian daripada Kerajaan Persekutuan dan sokongan PN kepada Perdana Menteri daripada UMNO adalah dengan syarat Perdana Menteri tidak mencampuri urusan mahkamah.

26. Jadi tidak peliklah Kluster Mahkamah ini masih tidak berpuas hati. Mereka mahu PN tidak lagi menjadi sebahagian daripada kerajaan dan dengan itu kerajaan akan dikuasai sepenuhnya oleh parti UMNO yang dikuasai oleh kluster ini.

27. Satu cara untuk kumpulan ini kembali berkuasa ialah dengan menumbangkan kerajaan-kerajaan negeri yang dibentuk melalui gabungan dengan PN supaya diadakan pilihan raya negeri. Apabila diadakan pilihan raya dan jika parti mereka menang, kepimpinan parti yang diterajui oleh Kluster Mahkamah akan dilihat semakin kuat dan berpengaruh.

28. Strategi ini bermula selepas BN menang PRN Melaka. Mereka berasa cukup yakin bahawa rakyat telah kembali menyokong mereka walaupun BN hanya mendapat 38.5 peratus undi. Kerana itu kumpulan ini telah merancang pembubaran Dewan Undangan Negeri Johor untuk diadakan Pilihan Raya Negeri Johor.

29. Mereka memilih Johor kerana Johor dikatakan negeri kubu kuat UMNO. Jika parti mereka menang PRN Johor, mereka akan mendesak Perdana Menteri untuk membubarkan Parlimen supaya Pilihan Raya Umum pula dapat diadakan.

30. Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob adalah Perdana Menteri tetapi yang menguasai UMNO adalah Presiden UMNO. Apabila Parlimen dibubarkan, yang berkuasa menentukan calon yang akan bertanding dan mengetuai parti dalam pilihan raya adalah Presiden, bukan Perdana Menteri.

31. Jika parti mereka menang dalam pilihan raya, lazimnya yang akan diangkat menjadi Perdana Menteri adalah Presiden parti.

32. Jika ini berlaku, maka lengkaplah perancangan Kluster Mahkamah. Mereka akan kembali berkuasa dan selesailah masalah mereka, na’uzubillah.

33. Jadi siapa sebenarnya pengkhianat? Saya atau mereka?

34. Sebagai orang Johor, saya percaya pengundi di negeri Johor adalah bijaksana. Saya tidak fikir Bangsa Johor yang beradab, berhemah dan tinggi nilai moral dan agamanya rela membiarkan PRN Johor digunakan sebagai alat untuk Kluster Mahkamah dan kleptokrat kembali berkuasa.

35. Hanya satu cara untuk mengalahkan Kluster Mahkamah iaitu dengan memastikan BN kalah dalam PRN Johor.

Muhyiddin Yassin

Leave a Reply

Your email address will not be published.