Hari terakhir Maisarah bersama ibu buat ramai sebak selepas Mahkamah Tinggi putuskan ayah bukan Islam dapat hak jagaan. Hati ibu mana yang tidak sayu apabila terpaksa berpisah dengan anaknya.
Sayu, di Mahkamah Tinggi Kuantan, Pahang semalam, Aishah ibu kepada Maisarah, 9, terpaksa akur dengan keputusan untuk anaknya tinggal dengan bekas suami.
“Mama akan lawan ya”, kata Aishah diiringi dengan pelukan erat dan hanya esakan kedua-dua beranak kedengaran.
Dalam video tular di media sosial semalam, Maisarah merangkul erat tubuh ibunya sambil menangis teresak-esak kerana hari terakhir beliau bersama ibu sebelum berada dalam jagaan ayahnya.
Video berdurasi seminit 20 saat itu tular, memaparkan kasih sayang seorang ibu yang terpisah setelah diputuskan mahkamah.
Namun, dalam paparan video berkenaan, ibunya berkata akan memfailkan permohonan rayuan hak penjagaan anaknya.
Aishah dan bekas suami, adalah orang asal yang berpisah. Aishah kemudiannya memeluk Islam, manakala bekas suaminya tidak.
Selepas bercerai Aishah membawa Maisarah duduk bersama ke Terengganu namun dicabar oleh pihak ayah yang memfailkan hak penjagaan.
“Jaga diri elok-elok, jaga aurat, jangan bagi lelaki tengok. Mama tak akan tinggalkan Maisrah dan jaga diri tahu, jangan bagi orang buli. Duduk dengan orang elok elok.”, itu antara pesanan disemat kepada Maisarah.
Sementara itu, Pengasas YY Community Centre, Yuseri Yusoff yang prihatin dengan kes ini berkata Mahkamah Tinggi Kuantan semalam telah memutuskan ayah Maisarah untuk menjaga kanak-kanak ini.
Menurut Yuseri Maisarah ketika dalam peliharaan ayahnya, Maisarah didakwa hidup tidak diurus dengan baik dan terpaksa melihat kehidupan ayah yang bersekedudukan.
“Dia (Maisarah) pernah dijaga oleh beberapa pihak lain, dan dipaksa minum arak, serta menjadi mangsa dera dan buli.
Dakwa Yuseri si ibu berharap mendapat bantuan Biro Bantuan Guaman bagi mengadili rayuan pihaknya, kerana sebelum ini badan itu pernah dihubungi Aishah namun tiada maklum balas diterima.
Dalam satu hantaran di instagramnya semalam Yuseri mengucapkan terima kasih kepada mereka yang menularkan kes Puan Aishah.
Katanya, Aisyah kini mahu bertenang dan masih terkejut dalam keputusan semalam.
Yuseri juga berkata satu permohonan notis rayuan juga telah difailkan bagi mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuantan semalam.
“Kita di YY CC cuba bantu puan Aishah, ibu Maisarah failkan rayuan di mahkamah rayuan. Hari ini melalui Tetuan Amin Chambers kita sudah failkan untuk ketepikan keputusan Mahkamah Kuantan semalam.”
Beliau juga menjelaskan keluarga berasal orang asli ini sudah memeluk Islam namun bukan ayah Maisarah.