Isu RM600 bilion: SPRM dedah hanya RM92.5 bilion dana kerajaan, RM437.5 bilion bukan dari kerajaan
Isu RM600 bilion: SPRM dedah hanya RM92.5 bilion dana kerajaan, RM437.5 bilion bukan dari kerajaan. Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memberi tumpuan kepada siasatan RM92.5 bilion daripada nilai dakwaan penyelewengan wang perbelanjaan negara yang dianggarkan hampir RM600 bilion.
SPRM dalam satu kenyataan berkata, pihaknya menerima butiran maklumat pecahan dana pakej rangsangan ekonomi yang dibelanjakan kerajaan pada tahun 2020 dan 2021 berkaitan pengurusan Covid-19 daripada Kementerian Kewangan.
“Hasil siasatan awal mendapati jumlah peruntukan terbabit dianggarkan berjumlah RM530 bilion.
“Berdasarkan jumlah itu, RM92.5 bilion membabitkan dana kerajaan manakala RM437.5 bilion lagi bukan daripada kerajaan,” katanya.
Justeru, SPRM berkata, siasatan mereka akan terarah kepada dana RM92.5 bilion berkenaan.
“Pihak Kementerian Kewangan sedang memperincikan pecahan itu dan akan menyerahkannya kepada SPRM pada minggu hadapan,” katanya.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, pegawai Kementerian Kewangan mengesahkan ada pelanggaran serius berhubung prosedur perbelanjaan hampir RM600 bilion ketika pentadbiran kerajaan diterajui Perdana Menteri kelapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Kelmarin, media melaporkan, Muhyiddin, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz (bekas Menteri Kewangan dalam Kabinet Muhyiddin) serta bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dijangka dipanggil memberi keterangan kepada SPRM berhubung dakwaan berlaku salah guna dana RM600 bilion ketika pandemik Covid-19.
Terdahulu, Muhyiddin menegaskan tidak takut disiasat berhubung laporan polis dibuat beberapa pihak mendakwa beliau menyeleweng dana terbabit berikutan ia wang individu dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta bank yang bukan di bawah kawalannya.