Ahli perniagaan alami detik cemas makhluk hitam tumpang kereta

Ahli perniagaan alami detik cemas makhluk hitam tumpang kereta.

Kawasan selekoh Bukit Tampoi di Jalan Kuala Nerang-Padang Sanai di Kuala Nerang dalam daerah Padang Terap, Kedah sememangnya tidak asing lagi dalam kalangan penduduk daerah tersebut dengan pelbagai cerita seram.

Jika melalui kawasan itu pada waktu siang, ia kelihatan biasa, namun suasana menjadi agak menakutkan pada waktu malam memandangkan jalan tersebut dikelilingi hutan serta bukit.

Seorang ahli perniagaan, Rosnah Mohamad, 43, berkata, dia pernah melalui detik-detik mencemaskan ketika melalui lokasi berkenaan pada tahun lalu.

“Pada masa itu, saya dan suami dalam perjalanan pulang ke rumah di Kuala Nerang dari Pulau Pinang kerana mempunyai urusan perniagaan. Saya memandu memandangkan suami mahu tidur kerana keletihan.

“Pada masa itu, jam menunjukkan pukul 1.30 pagi yang mana suasana sangat sunyi dan gelap,” katanya kepada Panorama.

Tambah Rosnah, dia memandu seperti biasa dan berusaha memberanikan diri dengan membaca ayat al-Quran.

“Sebaik tiba di selekoh Bukit Tampoi itu, saya terasa seolah-olah ada makhluk berada di kerusi belakang yang sedang memerhatikan saya memandu.

“Bulu roma saya terus meremang dan mengelak daripada menoleh ke belakang kerana tidak mahu melihat paras rupa makhluk tersebut,” ujarnya.

Kata Rosnah, dia terus memandu dalam ketakutan sehingga tertekan pedal brek secara mengejut apabila melihat bonggol yang terletak di hadapan sebuah sekolah.

“Saya terkejut apabila melihat makhluk berwarna hitam dari cermin pandang belakang menyebabkan saya terus menjerit sehingga mengejutkan suami yang tidur di sebelah,” ceritanya.

Kata Rosnah lagi, dia kemudian memberhentikan kenderaan di bahu jalan dan terus menutup muka kerana terlalu takut.

“Suami memandu pulang dan sepanjang perjalanan, saya berasa seperti makhluk hitam itu masih lagi berada di belakang kereta.

“Saya membaca beberapa surah al-Quran, tetapi makhluk itu masih lagi berada di belakang mengikuti kami pulang ke rumah,” katanya.

Tambahnya, makhluk berkenaan beransur-ansur hilang selepas suaminya membaca ayat Ruqyah.

“Kejadian itu beri kesan kepada saya dan saya akan berasa takut setiap kali melalui selekoh itu. Sebelum ini, saya hanya dengar ramai pengguna jalan raya yang diganggu, akhirnya saya juga berdepan kejadian sama,” katanya.

Seorang lagi penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Ramlan, 46, berkata, kejadian 10 tahun lalu masih segar di ingatannya apabila saudaranya, Zahir dalam perjalanan pulang ke Padang Sanai dari Kuala Lumpur selepas merantau hampir 10 tahun.

Menurut Ramlan, sebaik tiba di selekoh itu kira-kira pukul 2 pagi, saudaranya itu ternampak sebuah warung dipenuhi dengan orang ramai yang menjamu selera.

“Saudara saya itu singgah di warung tersebut untuk berehat seketika sebelum meneruskan perjalanan ke Padang Sanai,” katanya.

Ceritanya, semasa di warung itu, kelihatan beberapa pelayan wanita yang cantik sedang menyambut pelanggan sebelum saudaranya itu memesan mi goreng untuk mengalas perut sebelum sampai ke rumah.

“Selepas menjamu selera, saudara saya itu rasa sangat gembira dengan layanan yang diberikan oleh pelayan wanita yang baik dan ramah itu serta berjanji akan datang lagi ke warung itu,” ujarnya.

Tambah Ramlan, pada keesokan harinya, saudaranya itu memaklumkan kepada dirinya tentang warung tersebut dan mengajaknya menjamu selera di situ.

“Saya terkejut dengan apa yang diceritakan saudara saya itu dan memaklumkan kepadanya bahawa di situ tiada warung. Dahulu ada, tetapi sudah ditutup bagi kerja-kerja pembinaan jalan baharu di situ.

“Selepas mendengar cerita saya itu, saudara saya terus rasa loya dan muntah. Bagi memastikan cerita itu, dia turut membawa saya ke warung itu pada waktu siang tetapi memang tidak ada,” katanya.

Tambahnya, sejak kejadian itu, saudaranya tidak berani lagi pulang ke kampung pada lewat malam kerana bimbang kejadian sama akan berulang.

Baca Lagi:

Yasin tidak patut dipenjara, hukum gantung – Wardina

Ini fakta daun ganja yang ramai tidak tahu..Patutlah Freemason haramkan ganja, rupanya….

Chong Wei ucap selamat berpuasa, sempat kongsi kisah lucu lepas beli kurma

Leave a Reply

Your email address will not be published.