Dituduh tipu cucuk vaksin anak KJ, jururawat tampil buat penjelasan

Dituduh tipu cucuk vaksin anak KJ, jururawat tampil buat penjelasan

Dituduh tipu cucuk vaksin anak KJ, jururawat tampil buat penjelasan. Jururawat yang menyuntik vaksin Covid-19 kepada anak bongsu Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, tampil menangkis dakwaan warga net beliau membuang cecair vaksin Comirnaty untuk kanak-kanak itu sebelum menyuntiknya.

Sebaliknya jururawat yang melaksanakan proses berkenaan sudah melakukannya mengikut prosedur dan protokol ditetapkan.

Melalui klip video yang dimuatnaik di laman sesawang Kementerian Kesihatan (KKM) itu pagi hari ini, jururawat berkenaan berkata, proses suntikan terhadap anak bongsu Khairy adalah sama saja dengan yang dibuat terhadap kanak-kanak lain yang menerima suntikan vaksin Covid-19.

Baca lagi:  [VIDEO] Berang tidak diberi wang untuk beli dadah, lelaki tendang kepala bapa tiri

Beliau berkata, sebelum suntikan dibuat, beliau terlebih dahulu menunjukkan cara mengeluarkan cecair vaksin dari bebuli termasuk isi padu yang diperlukan kepada Khairy dan isterinya, Nori Abdullah.

Katanya, apabila berdepan dengan kanak-kanak, beliau tahu kebimbangan mereka terhadap jarum, menyebabkan beliau perlu berinteraksi dengannya untuk mengurangkan kerisauan itu.

“Ia seperti situasi menang menang iaitu saya boleh suntik dia dengan baik dan dia juga tidak takut dengan saya.

“Demi Allah saya tidak ada langsung keluarkan apa-apa (cecair) vaksin, yang tidak masuk ke dalam badan kanak-kanak itu,” katanya.

Baca lagi:  Kisah kucing comel selalu bantu pelancong sesat di kawasan pergunungan

Wanita itu berkata, berikutan kanak-kanak terbabit berada dekat dengannya, beliau memegang bahu untuk mengelakkan kanak-kanak itu lari atau bergerak.

Katanya, beliau cuba mengelakkan kanak-kanak itu daripada ternampak jarum yang digunakan untuk menyuntik vaksin berkenaan.

Selain itu, beliau berkata, cecair vaksin dalam picagari juga tidak boleh menitis keluar tanpa beliau menolak omboh padanya dan ia perlu dilakukan dengan dua tangan.

Beliau berkata, prosedur untuk menyuntik vaksin juga memerlukannya menarik sedikit udara sebaik saja jarum ditusuk ke tubuh badan untuk memastikan ia tidak terkena saluran darah, sebelum vaksin disuntik masuk.

“Selepas beri suntikan, saya tunjukkan kepada ibu bapa bahawa ini adalah vaksin yang sudah masuk dan saya asingkan ke tepi sebelum menampal plaster kepada lengan kanak-kanak itu,” katanya.

Pada masa sama, jururawat berkenaan meminta orang ramai untuk tidak membuat sebarang andaian berhubung perkara itu selain menghentikan sebarang tuduhan melulu kerana ia membabitkan kehidupan orang lain.

Beliau berkata, jika ia berlaku kepada mereka sudah tentu mereka akan merasa tidak selesa, geram dan sakit hati berdepan dengan tuduhan sedemikian.

“Saya hanya menjalankan tanggungjawab untuk memastikan ia berjalan dengan selancar boleh supaya saya dapat memberi keselesaan kepada kanak-kanak terbabit dan setiap kanak-kanak yang disuntik, saya cuba berikan yang terbaik untuk memastikan proses itu lancar dan tidak menimbulkan trauma kepada mereka.

“Jadi tolonglah siasat terlebih dahulu sebelum nak menghukum, nak kata saya kena menjawab. Saya rasa saya sudah menjalankan tugas dengan menerangkan kepada ibu bapa,” katanya.

Sebelum ini timbul pelbagai tuduhan dan spekulasi bahawa jururawat yang melaksanakan vaksinasi terhadap anak bongsu Khairi itu membuang cecair vaksin terlebih dahulu sebelum melakukan suntikan pelalian.

Rata-rata pengguna media sosial dilihat menghamburkan tuduhan berkenaan dalam ruangan komen pada video yang dimuat naik melalui media sosial termasuk akaun Facebook KKM.

CATEGORIES
TAGS