Yusof Haslam terkejut dengar berita Syamsul Yusof fail cerai terhadap Ira Kazar. “Saya tidak tahu apa-apa sebab kami sudah bertahun-tahun tidak berhubung.”
Itulah jawapan bapa Syamsul Yusof, Datuk Yusof Haslam, mengenai laporan yang menyatakan pengarah kontroversi tersebut telah memfailkan perceraian terhadap isterinya, Ira Kazar, di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Selangor, hari ini.
Yusof ketika dihubungi BH Online enggan mengulas lebih lanjut kerana tidak tahu menahu mengenai perkara tersebut, termasuk isu rumah tangga yang melibatkan Syamsul dan Ira.
“Allahuakbar… Saya tidak tahu mengenai hal ini. Kami sudah lama tidak berhubung, malah Aidilfitri pun dia (Syamsul) tidak pulang (ke rumah keluarga). Dia tidak menghubungi kami, jadi, kami tidak berani komen sebab kami langsung tidak tahu mengenai hal ini.”
“Jadi, memang kami tidak tahu apa-apa. Macam mana kami hendak tahu dalam keadaan begini,” katanya.
Harian Metro melaporkan bahawa Syamsul, 40, didakwa telah memfailkan perceraian terhadap Ira di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur.
Sumber dari Harian Metro memaklumkan bahawa tindakan tersebut diambil selepas tiada lagi persefahaman antara mereka.
Sebelum ini, pada Oktober tahun lalu, timbul khabar angin mengenai perceraian pasangan ini.
Syamsul dan Ira, atau nama sebenarnya Faghirah Fatini Kazaruddin, berkahwin pada 6 Januari tahun lalu di Selatan Thailand.
Perkara tersebut disahkan oleh Syamsul melalui sebuah video yang dimuat naik di Instagram pada Januari tahun lalu.
Susulan itu, pelakon Puteri Sarah, yang merupakan isteri pertama pada waktu itu, nekad memfailkan perceraian sebelum berpisah secara rasmi pada 14 Jun tahun lalu.