WHO jangka Covid-19 berakhir beberapa bulan lagi

WHO jangka Covid-19 berakhir beberapa bulan lagi

PARIS – Varian Omicron menggerakkan pandemik Covid-19 ke dalam  fasa baharu dan mungkin akan berakhir di Benua Eropah, kata Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO)  rantau Eropah, Hans Kluge kelmarin seperti laporan akhbar South China Morning Post.

“Ada kemungkinan Eropah bergerak ke arah pengakhiran pademik,” kata Kluge kepada agensi berita AFP dalam satu wawancara kelmarin sambil menambah, varian Omicron diramal menjangkiti 60 peratus warga Eropah menjelang Mac ini.

 Menurutnya, sebaik sahaja gelombang Omicron yang melanda Eropah reda, komuniti global akan berada dalam fasa imuniti kelompok selama beberapa minggu atau bulan.

“Ini disebabkan sama ada kemajuan vaksinasi atau ramai orang mempunyai imuniti kerana telah dijangkiti koornavirus.

“Kami menjangkakan akan ada tempoh senyap sebelum Covid-19 mungkin muncul kembali menjelang akhir tahun ini tetapi tidak semestinya sebagai pandemik,” kata Kluge.

Pandangan optimis itu dikongsi oleh saintis kanan Amerika Syarikat (AS), Anthony Fauci kelmarin.

Beliau memberitahu rancangan bual bicara terbitan saluran ABC News, This Week bahawa kes Covid-19  semakin menurun walaupun bukan mendadak di sebilangan kawasan di AS dan ‘situasi kelihatan semakin baik’.

Biarpun meminta semua pihak supaya jangan terlalu optimis, Fauci berkata,  terdapat penurunan bilangan kes di beberapa kawasan seperti timur laut AS

“Saya percaya anda akan melihat perubahan besar di seluruh negara (AS),” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, pejabat serantau WHO di Afrika menyatakan, kes Covid-19 menurun mendadak dan angka korban juga susut untuk kali pertama sejak gelombang keempat Covid-19 sampai ke kemuncaknya  di benua tersebut yang didorong penularan varian Omicron.

Varian Omicron,  yang menurut kajian adalah lebih mudah berjangkit berbanding Delta tetapi menyebabkan jangkitan kurang teruk dalam kalangan mereka sudah divaksin, telah memberikan harapan bahawa Covid-19 telah berubah daripada pandemik kepada fasa endemik.

Bagaimanapun, Kluge memberi amaran bahawa adalah terlalu awal untuk memikirkan tentang fasa endemik  Covid-19.

Sementara itu, di Eropah yang merangkumi  53 negara termasuk sebilangan negara di Asia Tengah,  Omicron mewakili 15 peratus kes baharu Covid-19 setakat 18 Januari lalu berbanding 6.3 peratus seminggu sebelumnya. – Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published.