Warga emas mangsa pertama kamera lampu merah, didenda RM7,000 dan lesen digantung 15 bulan. Seorang lelaki berusia 60 tahun menjadi orang pertama yang disabitkan di mahkamah atas kesalahan memandu melebihi had kelajuan yang ditetapkan, yang dirakam oleh fungsi penguatkuasaan kelajuan kamera lampu merah.
Lelaki tersebut didapati bersalah selepas melanggar lampu merah di persimpangan Lebuhraya Pantai Barat kira-kira jam 12.40 tengah hari pada 9 April lalu, lapor CNA.
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak polis semalam, lelaki tersebut didapati memandu dengan kelajuan 111 kilometer sejam di jalan raya yang had lajunya adalah 70 kilometer sejam.
“Untuk kesalahan memandu berbahaya ini, lelaki itu dikenakan denda S$2,000 (RM7,000) dan hilang kelayakan memandu selama 15 bulan pada 3 Julai.
“Ini adalah pendakwaan pertama di mahkamah untuk pelanggaran had laju yang dirakam oleh fungsi penguatkuasaan kelajuan kamera lampu merah,” kata pihak polis dalam satu kenyataan.
Fungsi penguatkuasaan had laju kamera lampu merah telah diaktifkan secara berperingkat di pelbagai lokasi mulai 1 April lalu sebagai usaha untuk mengurangkan pelanggaran had laju. Sejak itu, lebih daripada 5,000 pelanggaran had laju telah ditangkap oleh kamera lampu merah ini.
Walaupun kamera penguatkuasaan trafik dan lampu merah terbukti berkesan dalam menghalang pelanggaran had laju, pihak polis berkata masih ada pemandu yang memilih untuk memecut di lokasi yang mereka anggap tidak ada pengawasan.