Warga emas kantoi pasang 8 kamera tersembunyi mengendap penyewa wanita. Seorang pemilik rumah di Singapura telah memasang lapan kamera tersembunyi di sekitar rumahnya untuk mengintip penyewa wanita Malaysia.
Menurut laporan The Straits Times, kamera-kamera itu diletakkan secara strategik di dalam tandas, ruang tamu, dan bilik tidur penyewa.
Poon Lee Daniel, seorang lelaki berusia 68 tahun, telah dijatuhi hukuman penjara selama 10 bulan setelah mengaku bersalah.
Penyewa tersebut, seorang wanita Malaysia berusia 29 tahun, mula menyewa flat tersebut pada Januari 2019.
Pada awalnya, dia kerap pulang ke Malaysia pada hujung minggu, tetapi mula tinggal lebih lama di Singapura akibat sekatan perjalanan semasa pandemik Covid-19.
Kejadian ini terbongkar pada April 2021 apabila penyewa tersebut menemui lubang mencurigakan di bawah saluran penghawa dingin di biliknya.
Selepas menyiasat lebih lanjut, dia mendapati lubang tersebut adalah kamera tersembunyi dan segera melaporkannya kepada teman lelaki dan sepupunya, yang kemudian menghubungi pihak polis.
Poon sering masuk ke bilik penyewa dengan alasan mahu melakukan kerja-kerja rumah seperti menukar lampu atau membersihkan bilik.
Penyewa tersebut pada mulanya merasa sangat tidak selesa tetapi akhirnya akur.
Polis menemui empat video dan 224 imej di komputer Poon, dengan 49 daripadanya adalah imej yang menunjukkan penyewa tersebut sedang menukar pakaian dan mandi.
Poon telah dijatuhi hukuman penjara selama 10 bulan setelah mengaku bersalah atas tuduhan tersebut.