Warga emas 77 tahun masih bergelumang dengan pen dan kertas jawab peperiksaan. Ketika kebanyakan rakan seusianya menghabiskan masa bermain dengan cucu, dua pelajar warga emas Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) masih bergelumang dengan pen dan kertas bagi menjawab peperiksaan akhir semester di universiti itu yang bermula pada Jumaat.
M Krishnan, 77 dan R Ramesh, 56 mengambil peperiksaan bagi Ijazah Sarjana Muda Undang-undang selepas mendaftar di universiti itu pada Oktober tahun lalu.
Menurut Ramesh, walaupun berasa sedikit tekanan kerana sudah lama tidak menduduki peperiksaan, namun dia tetap tenang dan boleh menjawab dengan baik.
“Kali terakhir saya duduki peperiksaan adalah 37 tahun lalu iaitu pada 1986 untuk peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan hari ini (Jumaat) saya kembali ke dewan untuk peperiksaan pertama saya untuk Ijazah pula,” katanya.
Bapa kepada tiga anak itu berkata, perjalanan pengajian semester pertama memuaskan, malah dia mendapat sokongan dan kerjasama yang baik daripada pensyarah dan rakan sekelas.
“Dah lama saya tak belajar, pada mulanya memang ada masalah untuk menyesuaikan namun pensyarah dan rakan sekelas banyak memberi sokongan dan kerjasama,” ujarnya.
Sementara itu, Krishnan pula berkata, dia agak sukar untuk membahagikan masa kerana perlu memberi tumpuan kepada pekerjaan dan keluarga.
Bagaimanapun katanya, dia tetap berusaha demi mencapai kejayaan dan memenuhi impian menjadi seorang peguam.
“Saya perlu membahagikan masa dengan baik untuk keluarga, kerja dan kelas dan untuk peperiksaan akhir ini.
“Saya berazam saya untuk buat yang terbaik bagi mencapai impian lulus dengan cemerlang,” katanya yang dijangka tamat pengajian selepas empat tahun.
Ramesh dan Krishnan ditemui selepas selesai menduduki peperiksaan bagi subjek Pengantar Teknologi Maklumat di Dewan Gemilang, Kampus Gong Badak di sini pada Jumaat.