Warga asing urus majlis berbuka puasa di masjid Nilai

Warga asing urus majlis berbuka puasa di masjid Nilai

Warga asing urus majlis berbuka puasa di masjid Nilai. Keterbukaan Masjid Al-Azim Taman Semarak, di sini, membenarkan warga asing untuk mengadakan majlis berbuka puasa sendiri terbukti mampu mengimarahkan masjid berkenaan.

Program yang diadakan setiap Ahad itu mampu menarik lebih 400 jemaah dengan sebahagian besarnya warga Bangladesh dan penduduk tempatan yang memeriahkan suasana rumah ibadat itu sehingga ke solat Tarawih.

Komuniti warga asing beragama Islam yang tinggal dan bekerja di sekitar Taman Semarak itu mengumpul dana sendiri untuk membeli bahan mentah dan bergotong-royong memasak juadah di masjid berkenaan.

Warga asing urus majlis berbuka puasa di masjid Nilai

Pengerusi Masjid Al-Azim, Md Fakarudin Ab Rahman berkata, hubungan erat antara warga asing dengan pihak masjid itu dilihat mampu mendidik golongan berkenaan supaya beradaptasi dengan budaya Malaysia.

“Mereka meninggalkan keluarga dan mencari rezeki di negara ini. Sebagai saudara seagama kami terbuka menerima mereka walaupun sesetengah masyarakat mempunyai persepsi negatif mengenai warga asing terutama dari Bangladesh.
“Namun, sebenarnya kami sebagai pemimpin dalam masyarakat mampu mengawal mereka dan mendidik supaya mengamalkan cara hidup sesuai dengan budaya orang Malaysia. Ini tanggungjawab kita sebagai rakyat tempatan.
“Apabila mereka dekat dengan masjid, saya dapat lihat masalah sosial seperti minum, maksiat dan kesjenayah dapat dikawal. Mereka juga saling berpesan antara satu sama lain malah dengan bukan Islam termasuk mengenai kebersihan dan penampilan diri,” katanya ketika ditemui.

Mengulas mengenai program berbuka puasa itu, Md Fakarudin berkata, pada hari biasa juadah berbuka puasa disediakan pihak masjid, namun bagi hari Ahad, semuanya diuruskan warga asing berkenaan.

“Apa yang menarik saya dapat lihat adalah yang hadir berbuka puasa juga termasuk orang tempatan. Kami bersama-sama menjamu selera menggunakan talam tanpa ada sebarang jurang.

“Pada hari biasa jemaah yang hadir pada waktu Maghrib hingga terawih sekitar 150 orang. Dengan kehadiran mereka pada hari Ahad, jemaah mencecah 400 orang dan saf penuh sehingga ke belakang,” katanya.

Bagi warga Bangladesh Hafizul Rahman, 35, yang bertanggungjawab sebagai ketua, program berkenaan sudah dirancang sejak dua bulan lalu dan mereka mula mengumpul dana.

“Bagi berbuka puasa hari ini (Ahad) kami mengumpul wang sebangak RM3,000 dan membeli 15 kilogram (kg) ayam serta 60 kg daging. Menunya adalah nasi beriyani dengan kari.

“Saya sangat gembira dan bersyukur kerana pihak masjid membenarkan kami mengadakan majlis ini. Ia berjaya membawa komuniti warga asing yang beragama Islam supaya mendekati agama dan masjid.

“Malah, setiap kali berkumpul, pihak masjid atau pemimpin komuniti akan menasihatkan mengenai kebersihan, menghormati budaya Malaysia dan akhlak.

“Saya dapat lihat perubahannya sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) yang lalu, ada perbezaan,” katanya.

Baca Lagi:
Tular lelaki ‘terbang’ bersama layang-layang gergasi
2,767 pemilik kereta Audi di Malaysia dipanggil semula
2 tahun aku kerja di Australia, tak sangka balik Malaysia isteri aku dah mengandung 7 bulan, sekali ini yang aku buat
CATEGORIES