Warga asing kantoi seludup minyak masak paket. Polis Johor menahan seorang lelaki warga asing dan merampas lima kotak berisi minyak masak paket yang diletakkan di dalam kereta di bandar raya ini pada 12.30 tengah hari hari ini.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat, berkata tindakan dilakukan ketika Op Taring Landai yang dijalankan sepasukan polis daripada Unit Risik Marin Tampoi.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati kereta membawa sejumlah kotak minyak masak bersubsidi tanpa memiliki dokumen dan permit sah.
Katanya, polis menahan seorang lelaki warga asing berusia 35 tahun bagi membantu siasatan dan merampas lima kotak yang mengandungi 85 paket minyak masak keseluruhannya bernilai RM8,212.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961. Jika disabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Kamarul Zaman menggesa orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti menyalahi undang-undang dan peraturan supaya keselamatan negara dan ketenteraman awam terpelihara.