Warga asing beri amaran, ‘datang Malaysia hati-hati, takut ketagih’. Seorang pengguna media sosial baru-baru ini meminta pelancong asing agar berhati-hati jika melawat Malaysia.
Sebabnya? Negara ini sangat mempesona sehingga anda mungkin ingin kembali lagi walaupun sudah beberapa kali berkunjung ke sini.
“Hati-hati, anda mungkin akan ketagih dengan negara ini dan jenama penerbangan nasionalnya. Kecuali jika anda mampu membeli tiket kapal terbang 2 atau 3 kali setahun,” tulis pengguna itu dalam nada jenaka.
Tulisan ini disertakan dengan pelbagai imej yang menggambarkan keindahan Malaysia, dari pemandangan kota Kuala Lumpur hingga pesawat Malaysia Airlines.
Komen yang mengikuti catatan ini di laman Facebook Malaysia Travel menunjukkan betapa ramai orang telah “terperangkap” dengan daya tarikan Malaysia.
“Lambat, kami dah ketagih, ini kali keempat tahun ini [melancong ke Malaysia],” kata seorang pengguna.
‘Ketagihan’ yang dikongsikan ini sebenarnya tidak menghairankan memandangkan Malaysia menawarkan banyak lokasi menarik yang jauh daripada Kuala Lumpur.
Seperti yang dinyatakan oleh seorang pengguna, “Malaysia bukan sekadar KL. Pelancong harus melawat bahagian lain di negara ini.”
Selain itu, tarikan utama Malaysia selain lokasi adalah kepelbagaian masakan.
“Sila kembali jika anda terlepas sekurang-kurangnya satu daripada ini: Nasi lemak, Roti canai, sate, Ramly Burger, rendang…” tulis seorang warga Malaysia, menyenaraikan pelbagai hidangan.
Malaysia juga terkenal dengan rakyatnya yang mesra dan kemahiran berbahasa Inggeris yang baik, menjadikannya destinasi mesra pelancong asing.
“Malaysia terkenal dengan layanan mesra, makanan yang lazat, dan pulau-pulau yang indah. Kira-kira 70% penduduk boleh bertutur dalam bahasa Inggeris. Di bandar, ramai yang boleh bercakap dan menulis dalam bahasa Inggeris,” kata salah satu komen.
Bukan itu sahaja, syarikat penerbangan Malaysia Airlines turut mendapat pujian.
“Menarik anda sebut syarikat penerbangan nasional Malaysia. Gembira anda menikmati Malaysia Airlines,” tulis pengguna lain.
Daripada komen-komen tersebut, jelas menunjukkan bahawa Malaysia menawarkan gabungan unik keindahan alam semula jadi, rakyat yang mesra, hidangan makanan yang lazat, dan infrastruktur yang moden.
Semua ini menyebabkan pelancong tempatan mahupun asing ketagih untuk terus menikmati masa-masa mereka di Malaysia.