Wanita promosi gerai makanan, sekali lain pula yang netizen perasan belakang gerai. Kadang-kala, objek yang berada di latar belakang boleh menjadi perhatian utama berbanding juadah atau barang yang dijual oleh peniaga.
Sebagai contoh, sebelum ini terdapat abang lumba siput yang dikatakan terinspirasi untuk menganjurkan perlumbaan siput setelah siput sedut yang dibelinya merayap di meja belakangnya semasa siaran langsung di TikTok.
Terbaharu, seorang individu bernama Umie Qut, yang juga bergelar peniaga, mengalami situasi yang sama apabila orang ramai lebih berminat dengan kereta di latar belakangnya berbanding barang yang ingin diniagakan dalam satu hantaran di grup Bandar Baru Bangi Community (BBBC).
Situasi lucu ini dikongsikan oleh Umie Qut dalam hantaran tersebut, di mana niatnya adalah untuk mempromosikan gerai jualan makanan di sekitar kawasan rumahnya. Namun, perkara yang dibincangkan oleh netizen di ruangan komen adalah tentang kereta yang kelihatan di latar belakang.
“Hari tu saya post promosi niaga, tapi lain pulak yang orang dok sembangkan di ruangan komen. Mata orang lelaki ni nampak aje yer,” tulisnya dalam hantaran tersebut.
Dia melihat situasi ini sebagai sesuatu yang lucu dan berseloroh berkongsi gambar yang lebih jelas buat peminat kereta JDM sambil tetap mempromosikan makanan dan minuman yang dijual seperti biasa.
Malah, dia juga sedia ‘payung’ beberapa gambar bahagian hadapan kereta dalam hantaran kali ini selepas kereta tersebut mendapat perhatian dalam hantaran sebelum ini.
Hantaran lucu tersebut telah menerima sambutan yang cukup menggalakkan dan mendapat pelbagai komen positif daripada para netizen.
Ramai yang bersetuju bahawa mereka lebih tertarik dengan kereta Evo yang diparkir di latar belakang dan berseloroh meminta supaya promosi naik kereta Evo diadakan selepas berbelanja pada jumlah tertentu.
Dalam masa yang sama, sebahagian netizen mendakwa bahawa kehadiran kereta Evo di latar belakang memberikan keunikan tersendiri dan berpotensi menjadi pelaris terbaik untuk mempromosikan jualan.
Perkara ini terbukti apabila ramai yang berminat untuk datang membeli selepas perkongsian tersebut.
Tidak hanya itu, ada sebahagian pelanggan yang pernah membeli di gerainya turut mendedahkan bahawa makanan dan minuman yang dijual adalah sedap belaka. Mereka juga mengajak orang ramai untuk mencubanya sambil menikmati pemandangan kereta JDM yang diparkir di situ.