Wanita pertama dalam Malaysia genggam PHD pada usia 82 tahun. Kisah seorang wanita yang berjaya menamatkan pengajian peringkat Doktor Falsafah (PhD) pada usia 82 tahun telah menjadi inspirasi kepada ramai pihak, khususnya golongan wanita.
Kejayaan Dr. Siti Zaharah Abd. Hamid itu dikongsikan melalui laman sosial Facebook Fakulti Pengajian Peradaban Islam (FPPI), Universiti Islam Selangor (UIS) semalam.
“Tahniah dan syabas diucapkan kepada Ustazah Siti Zaharah Hamid @ Ummi (Doktor Falsafah Islamiyyat) atas kejayaan dalam sesi Peperiksaan Viva Voce pagi tadi (semalam).
“Sesuatu yang amat luar biasa apabila memperoleh kejayaan dalam peperiksaan lisan PhD pada usia 82 tahun. Ini amat memberi inspirasi kepada kita semua untuk terus mencari ilmu dalam apa jua keadaan.
“Untuk rekod, beliau merupakan mantan pensyarah di Jabatan Al-Quran & Al-Sunnah UIS @ UIS – Universiti Islam Selangor,” demikian tulis laman sosial Facebook FPPI, UIS.
Berdasarkan pencarian di internet, Dr. Siti Zaharah, yang juga bekas pensyarah FPPI UIS, telah memulakan pengajian PhD dalam bidang Falsafah Islamiyyat secara separuh masa ketika berusia 77 tahun.
Kejayaan Dr. Siti Zaharah dalam menggenggam PhD pada usia emas turut tular di media sosial dan mendapat pujian serta rasa bangga dari warga maya.
Rata-rata mereka melahirkan rasa kagum dengan semangat cintakan ilmu yang ditunjukkan oleh Dr. Siti Zaharah, dan percaya bahawa beliau wajar dijadikan contoh serta teladan oleh pelbagai lapisan masyarakat.
Kisah kejayaan Dr. Siti Zaharah juga membuktikan bahawa usia bukanlah penghalang untuk mencapai kejayaan dalam apa-apa bidang sekalipun, selagi ada kemahuan dan kesungguhan.