Wanita maut ketika hadir temuduga, rambut terbelit di mesin kilang. Seorang wanita yang hamil tujuh minggu maut akibat terbelit rambut sendiri selepas rambutnya tersangkut di sebuah mesin di kilang Svarmet di Borisov, Belarus.
Menurut laporan akhbar Daily Mail pada 3 Februari 2022, Umida Nazarova, 21 tahun, sedang menghadiri temuduga kerja di kilang yang mengeluarkan produk berkaitan wayar kimpalan dan elektrod ketika kejadian tersebut.
Semasa lawatan itu, rambut panjangnya tiba-tiba terperangkap dalam mesin, melilit lehernya, dan menyebabkan mangsa terperangkap serta berlumuran darah selepas kulit kepalanya tercabut.
Ibu mangsa, Olga, berkata bahagian leher anaknya turut mengalami kecederaan akibat lilitan rambut tersebut.
“Dia mengalami kecederaan parah akibat kejadian itu. Saya sedih kerana kilang tersebut melanggar peraturan keselamatan hingga meragut nyawa anak saya.
“Mereka nampak Umida mempunyai rambut panjang, kenapa tidak diberikan sebarang penutup untuk melindungi kepalanya?” soalnya.
Mangsa yang mengalami kecederaan serius tidak pernah sedarkan diri selama mendapatkan rawatan di hospital sebelum disahkan meninggal dunia 20 hari kemudian.
Mahkamah menjatuhkan hukuman kepada ketua kilang tersebut kerana gagal menunaikan tanggungjawab keselamatan serta bersikap tidak jujur dan cuai sehingga menyebabkan kematian seseorang.