Wanita mahu solat dakwa dihalau oleh AJK masjid kerana sudah ‘lewat’ malam. Niat untuk menunaikan solat dengan khusyuk dan tenang terhalang apabila seorang wanita, Afifah Abd Halim, 34, dihalau dari masjid kerana sudah ‘lewat’ malam.
Afifah berkongsi pengalamannya di TikTok, mendakwa dia diarah keluar pada jam 8.50 malam di sebuah masjid di Parit Buntar, Perak, oleh seorang individu yang dipercayai ahli jawatankuasa (AJK) masjid tersebut.
“Dia sanggup tutup lampu sedangkan orang masih solat. Saya tidak dapat memakai tudung kerana alasan mahu kunci pintu, Allahuakbar.
“Anak saya sampai menangis sebab gelap, apabila saya tegur, dia semakin memaksa saya keluar dari masjid,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.
Afifah terkejut kerana AJK berkenaan tidak menunjukkan sebarang sikap bertolak ansur dan memaksanya keluar tanpa memberi ruang untuk dia menyiapkan diri selepas solat.
Dalam perkongsian di akaun TikToknya, Afifah meluahkan rasa terkilan diperlakukan sedemikian, sedangkan masjid seharusnya menjadi tempat yang selesa untuk semua umat Islam beribadat.
Bagaimanapun, dia telah membuat laporan kepada pihak masjid mengenai insiden tersebut dan mereka telah mengambil maklum tentang kejadian itu.
“Saya telah membuat laporan di Facebook pihak masjid, dan mereka sudah meminta maaf serta berjanji untuk memberi teguran kepada AJK muslimat berkenaan.”
“Saya harap perkara ini tidak akan berulang di masa hadapan, kerana semua orang berhak untuk menggunakan fasiliti masjid. Semoga mereka lebih peka terhadap orang ramai yang hadir untuk beribadat,” jelasnya.
@sinarharianonline‘Mahu solat tapi kena halau sebab sudah lewat malam’ #fyp #SinarHarian #SinarTerkini #Semasa #Masjid #Solat #AJK #Halau