Wanita kena kecam berjemaah selepas sindir orang ramai guna jalan kecemasan. Seorang pengguna TikTok telah menjadi bahan sindiran ramai selepas memuat naik video mengkritik kenderaan yang menggunakan lorong kecemasan di lebuh raya, walaupun sebenarnya ia adalah Smart Lane yang telah diaktifkan.
Video itu dimuat naik oleh seorang wanita ke akaun TikToknya semalam dengan kapsyen, ‘orang-orang kaya di Malaysia, jalan sesak dia orang guna lorong kecemasan lebuh raya (kendalian) Plus’.
Namun, ramai yang mengkritik dan mengejek wanita tersebut kerana tidak menyedari bahawa lorong kecemasan itu sebenarnya adalah Smart Lane yang diaktifkan untuk membantu mengurangkan kesesakan pada waktu-waktu tertentu oleh syarikat pengurusan lebuh raya.
“Orang kaya ke, miskin ke boleh guna Smart Lane. Yang penting, cerdik,” kata seorang pengguna TikTok.
“Lapor polis kak, lepas tu tanya kenapa saya tak tahu pasal Smart Lane,” komen pengguna lain.
“Sebelum nak kritik orang lain, periksa dulu waktu-waktu Smart Lane dibuka untuk penggunaan di jalan raya sempena perayaan,” ujar seorang lagi pengguna TikTok.
Seorang individu lain memberitahu bahawa video tersebut mungkin dirakam di kawasan antara Nilai dan Seremban di mana terdapat kemudahan Smart Lane.
“Seperti Lebuh Raya Utara-Selatan di kawasan Nilai-Seremban. Di sini, terdapat Smart Lane dari selepas kilang Recron hingga sebelum Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Seremban. Ia boleh digunakan dari Jumaat hingga Ahad dengan waktu terhad, sehingga pukul 7 petang. Pengguna yang ingin menggunakan Smart Lane perlu membaca papan tanda kuning terlebih dahulu,” jelasnya.
Sebelum ini, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) mengumumkan pengaktifan Smart Lane di 18 lokasi tertentu di lebuh raya untuk membantu mengatasi kesesakan trafik semasa perayaan Aidiladha.
Semasa Smart Lane diaktifkan, lorong kecemasan sedia ada dibuka untuk penggunaan tambahan bagi meningkatkan kapasiti trafik di laluan-laluan penting lebuh raya.
Pengguna boleh mengenal pasti Smart Lane ini melalui Lampu Hijau Berkelip yang menunjukkan pengaktifan Smart Lane di lokasi-lokasi tertentu.
PLUS juga memasang papan tanda yang memberitahu dan memperingatkan pengguna jalan mengenai lokasi-lokasi Smart Lane yang terlibat. Smart Lane boleh digunakan oleh kenderaan ringan, persendirian, atau penumpang.
Baca Lagi: