Wanita ini pernah ditangkap polis dan imigresen lebih 20 kali

Wanita ini pernah ditangkap polis dan imigresen lebih 20 kali

Wanita ini pernah ditangkap polis dan imigresen lebih 20 kali. “Saya pernah ditangkap polis dan imigresen lebih 20 kali malah pernah merasa tidur di lokap selama tiga hari,” kata Hashimah, 40.

Hashimah, wanita tanpa kerakyatan sejak 40 tahun lalu kini diiktiraf sebagai warganegara Malaysia selepas haknya mendapatkan kerakyatan diputuskan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 17 November tahun lalu.

Dia yang ditemui di Lobi Ibu Pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), di sini berkata, pengalaman ditangkap penguat kuasa adalah antara kesukaran dihadapinya sepanjang bergelar ‘rakyat tanpa negara’.

Wanita ini pernah ditangkap polis dan imigresen lebih 20 kali

“Sejak berusia tiga bulan sehingga berusia 18, saya ditempatkan di lima buah rumah kanak-kanak masing-masing di sekitar Kuala Lumpur, Perak dan Pahang.

“Ketiadaan kad pengenalan juga menyebabkan saya tidak layak untuk menduduki peperiksaan termasuk Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” katanya.

Hashimah ditemui wartawan di lobi JPN hari ini bagi mendapatkan MyKad dan sijil lahir dengan diiringi barisan peguam daripada Lawyers for Liberty (LFL).

Dalam pada itu, katanya, dia mengakui sangat teruja dan bersyukur kerana penantian selama 40 tahun mendapatkan kerakyatan akhirnya menjadi kenyataan.

“Saya rasa sangat gembira dapat kad pengenalan biru, senang untuk kemudahan saya seperti kemudahan hospital, pekerjaan yang baharu dan boleh pergi menunaikan ibadah umrah Insya-Allah.

“Segala-galanya baik. Alhamdulillah. Proses semua berjalan lancar pada hari Jumaat ini, semua baik,” katanya yang masih belum berkahwin.

Katanya, ketika ini, dia bekerja sebagai pekerja am di Rumah Amal Cheshire Selangor, Subang Jaya malah pernah bekerja sebagai pengasuh di rumah kanak-kanak yatim.

Sebelum ini, Hashimah berjaya dalam cabarannya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk membatalkan penolakan JPN berhubung permohonan kewarganegaraannya.

Hashimah yang dilahirkan pada 9 Jan 1983 ditemui polis ketika serbuan di sebuah rumah seorang diri tanpa penjaga di mana ketika itu dia baru berusia tiga bulan.

Sementara itu, Pengarah LFL, Zaid Malek berkata, beliau mahu kes rakyat tanpa negara atau terbiar perlu diberi kerakyatan berdasarkan peruntukan Perlembagaan.

“Kami berharap tidak perlu lagi mahkamah untuk mengulangi acap kali perkara (kes seperti Hashimah) yang sama,” katanya.

Baca Lagi:
Rahsia ‘ustaz dunia’ akhirnya terbongkar, hidup mewah hasil duit derma
“Mulia dan bersihnya hatimu wahai anak”, – Budak tulis surat mohon maaf termuntah dalam surau serta wang sedekah
Lelaki terkejut jumpa duit dalam dinding rumah sebanyak RM245,000, bila pergi bank lain pula yang jadi
CATEGORIES