Wanita ini mengembara ke 42 bandar hanya dengan kos RM12,000. Seorang wanita di China menarik perhatian pengguna media sosial kerana melancong ke 42 buah bandar di dalam dan luar negara dengan perbelanjaan hanya 20,000 yuan (RM12,000), lapor akhbar South China Morning Post.
Wanita yang dikenali sebagai Xinxin, 25, berasal dari wilayah Jiangxi dan telah berkongsi trend pengembaraan yang digelar ‘iron butt’ di platform Douyin pada tahun lalu.
Trend ini sering dilakukan oleh generasi muda yang mencari tiket murah dan sanggup menghabiskan banyak masa di jalanan dengan menggunakan pengangkutan darat akibat kekangan bajet.
Walaupun belum mempunyai pekerjaan tetap, Xinxin telah meneroka 42 bandar termasuk di Tanah Besar China, Rusia, Thailand, dan Indonesia.
Menurut Xinxin, dia memburu harga tiket penerbangan dan kereta api paling murah sebelum memulakan perjalanan sebagai langkah penjimatan.