Wanita hamil 7 bulan kena buang kerja jadi rider selepas kantoi suami tolong hantar pesanan. Menantikan kehadiran cahaya adalah momen paling bahagia bagi pasangan yang baru mendirikan rumah tangga.
Apa sahaja sanggup dilakukan bagi memastikan anak yang bakal lahir tidak berasa kekurangan dan membesar dengan sihat.
Perkara sama turut dilakukan oleh seorang wanita ini selepas mengetahui dirinya hamil.
Berkongsi cerita dengan mStar, Nur Afifah Seh Zaidi yang kini hamil tujuh bulan berkata, dia sanggup membanting tulang dengan menjadi pekerja penghantaran (rider) bagi membantu suami mengumpul duit belanja untuk membeli keperluan bayi yang bakal dilahirkan.
“Usia kandungan sekarang tujuh bulan… saya menjadi penghantar makanan dengan Foodpanda untuk membantu suami dalam masa yang sama dapat menambah duit belanja bagi membeli barang keperluan bayi,” ujarnya.
Menurut bakal ibu berusia 20 tahun ini, bagi melancarkan urusan kerjanya, dia melekatkan kertas notis “maaf perlahan, saya mengandung enam bulan” pada bakul barangan.
Dia bertindak sedemikian kerana sering dihon oleh pengguna jalan raya yang lain kerana menunggang dengan perlahan.
“Ni cahaya mata pertama saya selepas mendirikan rumah tangga 10 bulan lalu. Jadi saya tampal notis tu sebab pernah dihon beberapa kereta kerana perlahan.
“Saya pula mudah terkejut. Kalau boleh saya nak buat servis ni sampai saya selesaikan pembelian barang keperluan bayi dan berpantang,” katanya yang berasal dari Melaka.
Sentiasa gigih melakukan tugasan, isteri kepada Muhammad Danish Danial Zairi ini berkata, dia membuat servis penghantaran setiap hari dan tidak pernah mengambil cuti rehat.
Bagaimanapun, dia yang dijangka bersalin pada hujung Ogos nanti berdepan kesukaran apabila perkhidmatannya ditamatkan selepas mendakwa salah seorang rakan rider membuat aduan berkenaan tugasnya.
“Ada satu hari tu saya tak sihat, jadi suami tolong hantar pesanan yang diterima sebab kebetulan syif dah nak habis.
“Masa tu ada rider lain nampak suami saya yang ambil pesanan tu sebab dia pun ada terima pesanan dari tempat yang sama.
“Jadi dia tangkap gambar dan laporkan ID saya menggunakan nombor pesanan yang diambil suami… disebabkan itu, saya kena buang,” ujarnya sayu.
Bagaimanapun, demi meneruskan kelangsungan hidup, dia kini melakukan kerja sambilan dengan menghantar bungkusan serta membuat sesi langsung (live) di TikTok.
Berkongsi perkembangan diri dan kandungan, ujarnya, dia menghidap talasemia dan sering mengalami kekurangan hemoglobin dalam darah.
Malah katanya, dia telah beberapa kali dimasukkan ke hospital kerana sering mengalami kehilangan darah.