Wanita dilapor hilang ditemui mati dalam kereta polis. Seorang wanita berusia lingkungan 40-an yang dilaporkan hilang selepas meninggalkan rumahnya ditemui mati di tempat duduk belakang sebuah kereta polis, lapor portal berita The Korean Times semalam.
Mayat wanita itu ditemui di dalam kereta tersebut di sebuah balai polis tempatan, 36 jam selepas dia hilang.
Penemuan itu menimbulkan kebimbangan mengenai kemungkinan berlaku kecuaian pihak polis.
Menurut Polis Wilayah Gyeongnam kelmarin, seorang anggota polis menemui mayat wanita tersebut di tempat duduk belakang kereta peronda polis yang diletakkan di Balai Polis Jinyo di Hadong, Wilayah Gyeongsang Selatan, sekitar pukul 2 petang (waktu tempatan) pada hari Sabtu lalu.
Wanita berkenaan, yang mempunyai sejarah penyakit mental, dilaporkan hilang pada malam 15 Ogos lalu selepas meninggalkan rumahnya dan tidak pulang.
Semasa pihak berkuasa mencarinya, mereka mendapati seorang wanita dalam keadaan tidak sedarkan diri di tempat duduk belakang kereta peronda polis dan mengesahkan dia ialah orang yang hilang itu.
Dia ditemui mati tanpa sebarang kecederaan luaran dan dipercayai terperangkap di dalam kereta tersebut kira-kira 36 jam.
Bagaimanapun, laporan bedah siasat awal menyenaraikan punca kematian sebagai tidak diketahui.
Seorang jurucakap polis berkata, “Kami akan meminta bedah siasat dilakukan untuk mengenal pasti punca sebenar kematian dan juga akan menyiasat sama ada terdapat sebarang kecuaian dalam pengurusan kereta peronda polis.”