Wanita dedah rahsia kenapa ramai kaum Cina di Malaysia kaya berbanding kaum Melayu. Setiap orang mempunyai impian untuk menjadi kaya-raya supaya segala keperluan dan kehendak dapat dipenuhi.
Di Malaysia, kita sering mengaitkan individu berbangsa Cina dengan gaya hidup yang berkaitan dengan kekayaan. Namun, mengumpul dan mengekalkan kekayaan bukanlah sesuatu yang mudah, tetapi ia bukanlah mustahil.
Baru-baru ini, seorang wanita bernama Kakwa Lina berkongsi di Facebook mengenai lima rahsia kejayaan dan kekayaan orang Cina.
1. Bantu adik-beradik
Lina bercerita mengenai sepupunya yang merupakan anak sulung dalam keluarganya sebagai contoh. Menurut Lina, sepupunya berkongsi rahsia kejayaan perniagaan dengan membangunkan bisnes bersama tiga adik-beradiknya yang menguruskan perniagaan berkaitan kereta.
Ini kerana budaya orang Cina cenderung untuk tidak membiarkan adik-beradik lain hidup susah jika ada yang menjalani kehidupan yang lebih baik. Hasilnya, semua adik-beradik sepupunya berjaya menjadi jutawan dengan membuka tiga jenis premis: bengkel kereta, servis pendingin hawa, dan kedai aksesori serta ubah suai kenderaan.
2. Kembangkan harta sedia ada
Bagi orang Cina yang memiliki wang dalam jumlah ratusan ribu ringgit, mereka tidak menggunakannya untuk berpoligami. Jelas Lina, hidup berpoligami hanya akan menambahkan beban dan mengecilkan nisbah harta apabila dibahagikan kelak.
Sebaliknya, mereka lebih memilih untuk membeli rumah atau hartanah berharga RM100,000 sebagai pelaburan jangka panjang. Dengan membina portfolio hartanah, keuntungan dijangka akan berganda dalam masa 10 tahun.
Jadi, tidak hairanlah jika golongan dewasa lebih memilih untuk tinggal bersama ibu bapa berbanding tinggal di rumah sendiri.
Ini kerana mereka menggunakan lebihan wang untuk membeli rumah yang kemudian disewakan kepada orang lain atau membina pasar raya yang lebih menguntungkan.
Malah, jarang berlaku perebutan harta dalam keluarga Cina kerana mereka lebih memilih untuk bekerjasama dan mengembangkan harta dengan membuka perniagaan keluarga.
3. Gembira atas kejayaan orang lain
Pernahkah anda perasan bahawa apabila kedai Cina baru dibuka, sering kali terdapat banyak jambangan bunga dengan ucapan semoga berjaya kepada pemilik perniagaan?
Ini kerana mereka merasa gembira dengan kejayaan ahli keluarga atau rakan-rakan dalam perniagaan sebagai tanda bahawa ibu bapa mereka tidak akan hidup dalam kesusahan.
Jelas Lina, tidak perlu ada rasa hasad dengki kerana kita sendiri dapat melihat betapa susahnya mereka membina sesebuah perniagaan.
Kebanyakan orang Cina lebih senang hati memberi sokongan dengan membeli atau menggunakan servis daripada sesama mereka.
4. Simpan dahulu sebelum berbelanja
Wang yang dimiliki lebih baik disimpan dalam bentuk Simpanan Tetap (fixed deposit), unit trust, atau di bank.
Kaedah ini bertujuan supaya kita hanya menggunakan hasil keuntungan daripada pelaburan tersebut. Menurut Lina, jika kita ingin membeli sesuatu, tangguhkan keinginan itu sehingga hujung bulan. Jika terdapat lebihan wang, barulah digunakan untuk membeli barang yang diingini.
Kata Lina, orang Melayu lebih beruntung dalam dunia pelaburan kerana mereka boleh menyimpan dalam Amanah Saham Bumiputra (ASB).
5. Tak suka berhutang
Kata Lina, orang Cina tidak suka berhutang untuk membeli barangan seperti telefon pintar, peti sejuk, atau perabot. Sebaliknya, mereka lebih suka mengumpul wang dan ‘tahan nafsu’ terlebih dahulu untuk membeli barang secara tunai tanpa faedah (interest).
Biasanya, mereka hanya berhutang untuk membeli rumah dan kereta tetapi tetap berusaha melangsaikan hutang dengan segera untuk mendapatkan rebat.
Memandangkan nilai sesebuah kereta susut dengan cepat, mereka lebih memilih untuk membeli kenderaan daripada jenama Honda dan Toyota yang tidak memerlukan kos besar untuk servis.
Namun, masih ada golongan Cina yang membeli kereta mewah, tetapi mereka akan melangsaikan hutang dengan segera untuk mengurangkan cukai pendapatan.