Wanita cipta rekod ‘wheelie’ motosikal mengundur dalam ladang sawit. Baru-baru ini, tular sebuah video yang memaparkan dua wanita hampir terjatuh apabila motosikal yang mereka tunggangi gagal dikawal, menyebabkan motosikal tersebut melakukan aksi ‘wheelie’.
Menceritakan detik tersebut, pekerja Pejabat Felda Palong 2, Negeri Sembilan, Siti Haryana Abu Bakar, 21, berkata kejadian itu berlaku ketika dia bersama empat rakan sekerjanya pergi melawat ladang kelapa sawit.
Menurutnya, mereka ke ladang untuk meninjau perkara berkaitan kerja sambil mencari durian, tetapi tidak berjaya menemui sebarang durian.
“Selepas semua pekerjaan selesai, kami bergerak keluar dari kebun. Kami ke kebun dengan empat motosikal. Saya dan dua rakan lain sudah bergerak terlebih dahulu.
“Tiba di suatu kawasan berbukit, kami (Siti Haryana bersama dua rakan) menunggu dua lagi rakan. Ketika itu, saya mengeluarkan telefon untuk merakam gelagat dua sahabat yang mahu mendaki kawasan berbukit tersebut.
“Bagaimanapun, motosikal yang dinaiki mereka tidak berjaya naik kawasan berbukit itu, sehingga menyebabkan motosikal tersebut melakukan aksi wheelie. Mujurlah kedua-dua mereka tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya ketika dihubungi pada Selasa.
Mengulas lanjut, Siti Haryana memberitahu, kejadian itu benar-benar mengejutkan, namun disebabkan motosikal berkenaan hilang kawalan sehingga wheelie, ia bertukar menjadi lucu.
Katanya, sebaik sahaja motosikal itu hilang kawalan, dia berlari untuk membantu mereka.
“Alhamdulillah, tiada kecederaan berlaku. Masing-masing terkejut, tetapi situasi motosikal yang mengundur lalu menyebabkan aksi wheelie, amat melucukan.
“Saya rasa serba salah kerana ketawa terlebih dahulu sebelum menghulurkan bantuan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Siti Haryana memaklumkan bahawa insiden tersebut tidak mendatangkan rasa trauma kepada mereka, tetapi membuatkan mereka lebih berhati-hati.
Video berdurasi 12 saat yang dimuat naik di laman sosial TikTok @sharyanaa telah mengundang tawa orang ramai yang menyifatkan insiden tersebut sebagai kejadian luar biasa.
@sharyanaa Abis moto boss 🤭🤣🤣 . Alhamdulillah selamat #xyzbca #anakpenerokafelda🌴🌴 #fypdongggggggg #viral ♬ original sound – nanaaaaaa
Menurut pemilik akaun @wifihome90, kebiasaannya penunggang motosikal melakukan wheelie sambil motosikal bergerak ke hadapan, tetapi kali ini berbeza.
“Selalu orang wheelie ke depan… kali ini sambil mengundur, dia boleh wheelie. Pertama kali tengok.
“Tengok lima, enam kali tetap gelak. Saya minta maaf kak,” tulis @Apab.
Sementara itu, @NabihaKastor berkata bahawa wanita yang menunggang motosikal tersebut terlalu santai menaiki bukit, sehingga menyebabkan kejadian tersebut berlaku.