Wanita bunuh diri terjun tingkat 28 kondominium, mayat tersangkut di tingkat 20. Seorang wanita ditemui maut selepas terjun dari tingkat 28 sebuah kondominium di Damansara Perdana sebelum tersangkut di aras 20, pagi tadi.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian pada pukul 8.09 pagi.
Beliau berkata, sepasukan 12 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Damansara dikerahkan ke lokasi kejadian.
“Bomba tiba 16 minit kemudian dan mendapati mangsa seorang wanita berusia 40 tahun ditemui tersangkut di tingkat 20.
“Mayat mangsa telah diambil dengan menggunakan teknik ‘rope rescue’ dan dibawa masuk ke dalam bangunan melalui tingkap,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelasnya, mayat mangsa diserahkan kepada polis bagi tindakan lanjut dan operasi tamat pada pukul 10.55 pagi.