Wanita anak empat sanggup bercerai dengan suami kerana gilakan jutawan UK. Ibu kepada empat anak sanggup meminjam wang daripada berpuluh ceti haram (Along) akibat terlalu mendambakan cinta seorang lelaki warga asing yang mendakwa dirinya seorang ‘jutawan’ dan menetap di United Kingdom (UK).
Suami wanita terbabit, Koh, 47, berkata rumah tangga yang dibina sejak 16 tahun lalu berkecai selepas isterinya itu memohon cerai.
Namun, kehidupan mereka dan empat anak semakin menderita apabila keluarga mereka diganggu ramai samseng Along yang menuntut hutang isterinya itu.
“Saya buntu kerana isteri sudah meninggalkan rumah sejak enam bulan lalu dan kami tiada kaitan dengan hutang berkenaan.
“Dia (isteri) mula meminjam wang sejak terjebak dengan seorang lelaki warga asing yang ditemui secara dalam talian dan mendakwa sebagai seorang ahli perniagaan di London.
“Sejak itu ramai Along datang cari saya di rumah, di pejabat, di kilang dan mengugut mahu mencederakan saya serta menculik anak-anak saya jika hutang isteri tidak dijelaskan,” kata ahli perniagaan itu pada sidang media di Wisma MCA, di sini, semalam.
Koh berkata, sebelum berpisah, isterinya sering meminta wang daripadanya, dipercayai untuk diberikan kepada kekasih gelapnya itu.
“Dia akan bertindak agresif sekiranya permintaan itu ditolak.
“Isteri akan memukul saya menggunakan tangan, memecahkan pintu kaca selain cuba mencekik anak perempuan mereka yang berusia 13 tahun,” katanya.
Menurut Koh, ahli keluarga cuba menyakinkannya bahawa isterinya ditipu oleh sindiket love scam, namun isterinya terlalu dilamun cinta hingga tidak mahu mendengar nasihat sesiapa.
“Lelaki yang kononnya ahli perniagaan itu berjanji akan mengahwininya dan mereka akan menetap di London. Malah, ‘scammer’ itu menjanjikan sebuah jet peribadi untuk isteri saya kononnya supaya mereka boleh menjelajah dunia.
“Semua ini saya ketahui selepas membaca perbualan antara mereka menerusi aplikasi WhatsApp,” katanya.
Menurut Koh, dia menganggarkan isterinya sudah menyerahkan hampir RM1 juta kepada ‘jutawan’ tersebut, namun jumlah sebenar tidak dapat dipastikan.
Katanya, dia tidak pernah dan tidak akan membuat bayaran kepada Along yang datang menuntut hutang, tetapi khuatir akan keselamatan dirinya dan anak-anaknya yang berusia enam hingga 15 tahun.
“Saya sudah buat laporan polis di Kajang pada 18 November lalu dan saya mahu umumkan dengan jelas bahawa saya tiada kaitan lagi dengan wanita itu.
“Proses perceraian kami sedang berjalan dan akan mengambil tindakan undang-undang sekiranya tindakan wanita itu terus membahayakan saya dan anak-anak,” katanya.
Sementara itu, Ketua Jabatan Perkhidmatan Awam dan Aduan MCA, Datuk Seri Michael Chong, berkata sindiket love scam ini terus berleluasa dan menyasarkan kaum wanita, khususnya.
Katanya, berdasarkan aduan yang diterima pihaknya sebelum ini, rata-rata mangsa tidak pernah bertemu dengan ‘kekasih’ mereka, namun ada yang ditipu sehingga jutaan ringgit.