Wanita alami mimpi ngeri selepas kena gigit nyamuk, rambut jadi gugur dan kulit muka menggelupas. Percutian seorang wanita berakhir dengan mimpi ngeri apabila dia mengalami masalah kulit, selain rambutnya gugur dan kukunya tercabut selepas digigit nyamuk ketika bercuti.
Memetik laporan Metro UK pada 28 Julai 2024, Amy Wells, 37, mengalami masalah tersebut ketika bercuti di Republik Dominican di Caribbean bersama suaminya, Charlie, pada 22 Januari 2023.
Selepas sehari berenang bersama ikan lumba-lumba, Amy pada 28 Januari menyedari terdapat ruam di lehernya selepas bangun tidur, yang dengan cepat merebak ke seluruh badannya.
Amy pergi ke hospital di pulau tersebut di mana dia diberi antibiotik bernama ceftriaxone, yang tidak biasa digunakan di United Kingdom (UK), menurutnya.
Amy akhirnya dirujuk ke unit kecemasan di mana doktor mendapati luka-luka tersebut menunjukkan bahawa ruam awalnya disebabkan oleh gigitan nyamuk.
Pekerja kawalan kualiti itu berkata kulitnya mula menggelupas, dengan sebahagian daripadanya melekat pada kakinya, menyebabkan luka terdedah dan parut.
“Ruam itu menutupi seluruh badan termasuk mata dan bibir saya. Ia amat menyakitkan. Pengalaman ini ibarat neraka di dunia.
“Ia sangat ganjil. Saya tidak pernah mengalami sebarang reaksi alahan terhadap apa-apa,” katanya.
Menurutnya lagi, pasukan perubatan memaklumkan bahawa keadaannya disebabkan oleh reaksi terhadap antibiotik dan dia juga terkena gigitan nyamuk Zika.
Amy yang ditahan di hospital dibenarkan pulang ke rumah pada 1 Februari kerana tanda jangkitan menurun, tetapi dia masih mempunyai sedikit ruam yang muncul di badannya.
Katanya, antibiotik yang diberikan di hospital pulau itu bertindak balas dengan ubat lain yang dimakannya, menyebabkan kulitnya dipenuhi dengan ruam yang menyakitkan beberapa hari selepas kembali ke United Kingdom (UK).
Pehanya membengkak kepada dua kali ganda saiz biasa semasa penerbangan sepuluh jam, dan ia berasa seperti terbakar, katanya.
Dia kemudian mendapatkan rawatan di Hospital William Harvey di Ashford.
Kakinya mengambil masa tiga minggu untuk sembuh dan kini mempunyai parut yang menutupi separuh daripada setiap kaki di bawah lutut. Amy terpaksa mengambil cuti kerja selama sepuluh minggu.
Kuku jari dan kakinya tercabut pada bulan April, manakala rambutnya mula menipis, dan menjelang bulan Mei, dia botak sepenuhnya.