Wajah sebenar wabak COVID-19 yang telah dibesarkan sebanyak 2,600 kali didedah? Media sosial adalah satu platform di mana segala maklumat dapat dicapai dengan cepat dan pantas. Dalam situasi genting dan sukar ini, penting untuk menjaga segala maklumat yang keluar atau masuk.
Tular satu hantaran di laman Facebook dengan foto dan juga pautan video Youtube yang dikatakan ‘bentuk’ dan ‘wajah’ sebenar wabak COVID-19 yang telah dibesarkan sebanyak 2,600 kali.
Hantaran yang dibuat pada 8 Mac, 2020 itu walaubagaimanapun telah disangkal dan dilaporkan palsu kerana imej tersebut adalah sebenarnya imej seekor kumbang yang dibesarkan.
Melalui hantaran yang dibuat oleh Ashari Helmy, beliau menyatakan di ruang Facebook peribadi miliknya bahawa ini adalah imej coronavirus yang telah dibesarkan sebanyak 2,600 kali. Di akhir kapsyen tersebut, beliau menyebut ‘Tuhan tahu yang terbaik’.
Manakala tajuk pada pautan video Youtube itu menggunakan bahasa Arab yang mempunyai maksud yang sama seperti ditulis oleh Ashari Helmy.
Video yang dimuat naik pada 6 Mac 2020 itu telah mendapat 5,000 jumlah tontonan, dikongsi lebih 80 kali sebelum ia diturunkan. Manakala perkongsian maklumat tidak sah ini turut berlaku di laman Twitter.
Namun jelas ianya ‘misleading’ dan telah mengelirukan orang.
Melalui satu carian, imej yang dikatakan sebagai COVID-19 telah mula dimuat naik pada 26 Februari, 2020 di laman sesawang bahasa Arab, eheliosworld.com.
Laman tersebut menyatakan bahawa imej tersebut adalah Weevils, seekor kumbang yang berasal dari keturun Curamionoidea. Ia adalah kumbang yang kecil – tidak kurang dari 6 milimeter.
Weevil bukan virus. Ia adalah jenis serangga dari keluarga Curculionidae, menurut artikel yang dimuat naik di Ensiklopedia Britannica.
Maklumat yang dikeluarkan pada waktu-waktu begini memerlukan pandangan yang lebih mendalam kerana khuatir akan mengakibatkan situasi panik.
Malaysia hari ini memasuki hari pertama penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan di mana seluruh agensi swasta dan kerajaan serta sekolah-sekolah, ipta dan taska diarahkan tutup. Ini adalah antara usaha kerajaan untuk menghalang penyebaran wabak COVID-19 yang telah mula membunuh dua rakyat Malaysia.