[VIDEO] Kanak-kanak buat ‘live’ jumpa ular sawa tular

Kanak-kanak buat 'live' jumpa ular sawa tular

SUNGAI PETANI – Tindakan seorang kanak-kanak lelaki melaporkan penemuan ular sawa yang ditemui dalam longkang secara siaran langsung (Live) di Facebook menjadi tular hingga meraih perhatian warganet di laman sosial.

Kejadian penemuan ular itu disedari bapanya, Mohd Asyraf Ahmad, 37, ketika kerja-kerja mengemas dilakukan kira-kira 6.25 petang pada Ahad dekat sebuah pasar di Bukit Selambau.

Dia juga merupakan peniaga di pasar itu, terkejut melihat air bertakung di dalam longkang setelah membersihkan kawasan pasar tersebut.

“Semasa tengah kemas lepas habis jual sayur, saya simbah air dalam longkang tetapi air bertakung bukan disebabkan sampah-sarap tetapi ternampak seperti seekor ular sawa batik.

“Anak saya, Muhammad Haziq,12, yang teruja pertama kali nampak ular, terus buat ‘live’ di Facebook.

“Saya dan isteri ada menegur supaya tidak berbuat demikian namun dikatakan hanya sekadar suka-suka, dia meneruskan ‘live’ sehingga menyebabkan videonya diikuti ramai dan tular,” katanya.

Mohd Asyraf tidak menyangka tindakan anaknya memuat naik hantaran video secara langsung di akaun Facebook Haziq Atan meraih tontonan lebih 519,000 daripada warganet.

Katanya, anak sulung dari dua beradik itu sebenarnya gemar memasak, sering memuat naik video masakan dihasilkannya sendiri sebelum ini sehingga diikuti ramai pengguna Facebook.

“Dia banyak belajar dalam YouTube tentang cara-cara memasak dan berkomunikasi.

“Selain itu, dia memang sukakan aktiviti menyelamat seperti pasukan bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) atau ambulans.

“Setakat ini, saya tidak halang minat atau kecenderungannya asalkan tidak keterlaluan dan akan dipantau memandangkan dia masih bersekolah,” katanya.

Sementara itu, video durasi dua minit 47 saat dimuat naik pada Ahad meraih 15,000 tanda suka dan lebih 30 komen daripada warganet hingga menjadi bualan ramai dek kepetahan Muhammad Haziq bertutur dalam loghat Kedah.

Dalam pada itu, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kuala Muda, Kapten (PA) Azahar Ahmad berkata, ular sawa batik seberat anggaran 30 kilogram dan sepanjang empat meter itu berjaya dikeluarkan empat anggota yang tiba ke lokasi kejadian selepas menerima makluman.

Menurutnya, APM tiba pada jam 7.36 malam dan selesai menangkap haiwan berkenaan pada jam 7.56 malam dan dilepaskan ke habitat asal yang jauh dari kawasan penduduk.

“Kami menasihati orang awam agar tidak melakukan sebarang perbuatan yang mengundang bahaya sekiranya berdepan haiwan berbisa dan melaporkan segera kepada pihak berkaitan untuk tindakan selanjutnya,” katanya. – SH

Leave a Reply

Your email address will not be published.