[VIDEO] Anwar kena tegur oleh pegawai KKM kerana tanggalkan pelitup muka ketika berkempen

[VIDEO] Anwar kena tegur oleh pegawai KKM kerana tanggalkan pelitup muka ketika berkempen

[VIDEO] Anwar kena tegur oleh pegawai KKM kerana tanggalkan pelitup muka ketika berkempen. Datuk Seri Anwar Ibrahim ditegur pegawai dipercayai daripada Kementerian Kesihatan (KKM) yang meminta beliau memakai pelitup muka ketika berceramah kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di Larkin, petang tadi.

Bagaimanapun, Presiden PKR itu enggan berbuat demikian dan menyatakan jarak antara beliau dengan hadirin pada majlis itu melebihi satu meter.

Ketua Pembangkang itu menegaskan, pemakaian pelitup muka ketika berucap adalah tidak praktikal.

“Jangan marah dia (pegawai KKM), dia jalankan tugas. Habis ceramah saya mahu hubungi Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Saya mahu cakap macam mana perlu pakai pelitup mulut ketika ceramah, mahu bercakap pun tidak jelas, sudahlah kempen susah. Jarak jauh.

“Kamu (kerajaan) yang nak adakan pilihan raya. Orang tidak mahu adakan pilihan raya, orang tidak ada kerja, tidak ada wang. Bila buat pilihan raya, adakan peraturan yang susahkan orang.

“Ini peraturan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), pegawai KKM tadi terpaksa beritahu. Saya rasa tidak praktikal.

“Dari awal saya datang, tidak buka pelitup muka. Saya tahu isteri saya doktor. Tapi bila cakap jauh macam ini, kena buka pelitup mukalah,” katanya yang berceramah kira-kira setengah jam mulai jam 6.15 petang.

Dalam ceramahnya, Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson, mendakwa UMNO dan Barisan Nasional (BN) mahu menunjukkan kuasa dengan mengadakan PRN Johor, susulan kemenangan besar pada PRN Melaka.

Katanya, alasan kononnya PRN Johor dilakukan kerana mahukan kestabilan kerajaan tidak boleh diterima.

“Alasan mahu kestabilan, apakah sekarang tidak stabil. Walaupun majoriti kecil (di DUN), tidak pernah parti pembangkang menentang kerajaan dalam belanjawan Johor.

“Di Parlimen juga majoriti kecil, belanjawan kita (pembangkang) setuju RM45 bilion untuk uruskan wabak pandemik COVID-19, RM10 billon untuk bantu orang miskin.

“Yang bagi ‘kacau’ dia sama dia gaduh tidak habis-habis . Gaduh soal kuasa dan projek. Kita gaduh soal mandat untuk rakyat,” katanya.

 

Baca lagi:

Seorang lelaki sanggup berendam dalam ais lebih tiga jam untuk pecahkan rekod dunia

[VIDEO] Lelaki mengamuk atas lori kontena

Doktor paling sempoi, minta ubat batuk sekali dapat bunga cengkih

CATEGORIES
TAGS