Tindakan seorang pegawai bomba yang berusaha menyelamatkan seekor kucing yang dikeluarkan semasa kebakaran di Miri, Sarawak menjadi perhatian ramai.
Difahamkan, kucing tersebut dipercayai terperangkap dan berjaya dikeluarkan oleh pemilik rumah.
Perkongsian klip video daripada laman Facebook Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sarawak menunjukkan seorang pegawai bomba dikenali sebagai Mohamad Ainli Akhbar mencuba sedaya upaya menyelamatkan kucing berkenaan.
Lebih mengharukan, pegawai itu dilihat cuba memberikan bantuan resusitasi kardiopulmonari (CPR) serta bantuan pernafasan melalui mulut.
Bagaimanapun, setelah mencuba selama hampir 30 minit, kucing tersebut tidak dapat diselamatkan kerana terhidu asap yang terlalu tebal.
Susulan perkongsian itu, rata-rata pengguna laman sosial memuji kesungguhan dan usaha yang telah diambil pegawai tersebut bagi menyelamatkan seekor kucing.
“Salut abang bomba, terbaik sentiasa. Mulia dan cekal menyelamat,” kata Sim Mui Chai.
“Terima Kasih cuba selamatkan kucing itu dan semua petugas yang terlibat memadamkan kebakaran. Moga Allah balas jasa baik ini, Amin,” ujar Khalid Sahari.