Vida mohon maaf secara terbuka kepada Anuar Zain

Vida mohon maaf secara terbuka kepada Anuar Zain

PETALING JAYA – Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya.

Barangkali peribahasa tersebut sesuai menggambarkan situasi yang dihadapi usahawan kosmetik sensasi, Datuk Seri Vida yang akhirnya membuat permohonan maaf secara terbuka kepada penyanyi Anuar Zain susulan isu video yang tular baru-baru ini.

Vida atau nama sebenarnya, Hasmiza Othman menerusi hantaran video Instagramnya memohon maaf kepada semua pihak yang terguris hati termasuk keluarga Anuar.

“Assalamualaikum semua. Saya Datuk Seri Vida, memohon maaf atas kekhilafan, kekeliruan atau mungkin perkataan saya yang mungkin mengguris hati banyak pihak, peminat, keluarga Zain, Anuar Zain. Saya minta maaf banyak-banyak.

“Saya tidak bermaksud, tidak berniat. Mungkin terlepas cakap atau gurauan tanpa sengaja. Saya tak boleh nak ‘recall’(ingat balik) apa yang saya cakapkan itu.

“Sebab benda ni dah lama sebenarnya. Jadi baru sekarang muncul,” katanya dalam keadaan sebak.

Pelantun lagu I Am Me itu juga berhasrat untuk bertemu dengan Anuar yang cukup popular menerusi lagu Sedetik Lebih secara peribadi.

“Apapun saya minta maaf, tak berniat langsung dan saya meminati sangat-sangat Anuar Zain. Saya minat Lelaki Ini. Tapi jadi kekeruhan begini. Kekalutan.

“Apa lagi yang saya dapat ucap melainkan saya memohon maaf banyak-banyak buat rakyat Malaysia, Anuar Zain, keluarga Zain.

“Maafkan saya dan saya harap sangat dapat berjumpa ‘in person’ dengan Anuar Zain. Hajat besar ada, projek besar ada, insya-Allah,” tambah Vida.

Terdahulu, tular sepotong klip video TikTok peminat mengulang siar rakaman IG Live Vida yang membalas pertanyaan peminat agar mengurat vokalis ulung tanah air itu.

Secara berbisik, Vida seakan-akan membalas pertanyaan itu dengan menyebut perkataan tidak sepatutnya yang kedengaran seperti ‘gay’ sehingga mengundang rasa tidak puas hati netizen.

Kakak kepada Anuar, Ziana turut menyelar tindakan Vida dan menganggap apa yang dilakukannya sebagai sesuatu yang biadap.

Semalam, Kosmo! Online melaporkan Vida menafikan ada menyebut perkataan ‘gay’ merujuk kepada seksualiti Anuar sebaliknya hanya menyebut perkataan ‘okay’

“Saya sebut ‘okay’ bukan ‘gay’. Janganlah terasa mak-mak ayam di luar sana. Saya hanya bergurau dan tidak bermaksud apa-apa pun,” katanya ketika dihubungi menerusi pesanan WhatsApp. – KO

CATEGORIES
TAGS