Van pelancong Thailand tidak lagi dibenarkan masuk Malaysia. Kerajaan telah menguatkuasakan undang-undang yang melarang pengusaha van pelancong dari Thailand membawa masuk kenderaan mereka ke Malaysia untuk mengelakkan industri bas ekspres tempatan terjejas.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, menyatakan bahawa sesetengah pengusaha tersebut cuba mengambil kesempatan dengan membawa penumpang dalam negara selain dari membawa pelancong mereka.
“Mereka akan singgah untuk mengambil penumpang di dalam negara dan kemudian meneruskan perjalanan hingga ke Kuala Lumpur atau destinasi lain melalui Kelantan,” katanya.
Beliau membuat kenyataan ini kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Operasi Fasa 1 Projek Pembesaran dan Menaiktaraf LTSIP di sini pada hari Isnin.
Turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Air, dan Pembangunan Luar Bandar Kelantan, Datuk Dr Izani Husin.
Bagaimanapun, Anthony memberitahu bahawa tiada masalah bagi bas dari Thailand yang ingin memasuki negara ini melalui pakej yang disediakan, namun mereka perlu membuat permohonan dengan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) terlebih dahulu untuk mendapatkan permit.
“Tiada had yang ditentukan untuk kemasukan bas, tetapi syarikat bas terbabit perlu menyediakan maklumat lengkap seperti pakej pelancongan, bilangan penumpang, dan lokasi penginapan,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan bahawa kerajaan negeri Kelantan telah memohon kelonggaran permit bas pelancong dari Thailand dengan Kementerian Pengangkutan untuk membenarkan kenderaan tersebut masuk ke negeri ini sempena Tahun Melawat Kelantan 2024.