‘Usain Bolt Malaysia’ cemerlang SPM, dapat 6A

‘Usain Bolt Malaysia’ cemerlang SPM, dapat 6A

‘Usain Bolt Malaysia’ cemerlang SPM, dapat 6A.

Terlibat aktif dalam sukan hingga ke peringkat dunia, bukan halangan bagi pelari pecut muda negara, Muhammad Azeem Mohd. Fahmi, 18, memperoleh keputusan cemerlang 6A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Pada pengumuman peperiksaan hari ini, Muhammad Azeem yang diberi jolokan ‘Usain Bolt Malaysia‘ memperoleh 3A+ dan 3A- bagi mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam, Sejarah, Sains dan Ekonomi.

Pencapaian tersebut disifatkan menebus kekecewaan anak keempat daripada lima beradik itu selepas penyertaannya dalam saringan 100 meter lelaki di Sukan SEA 2021 dibatalkan, bulan lalu.

Menurut Muhammad Azeem, dia amat berpuas hati dengan keputusan yang dicapai dan menganggap ia sebagai setimpal untuk semua kerja kerasnya dalam bidang sukan dan akademik.

‘Usain Bolt Malaysia’ cemerlang SPM, dapat 6A

Katanya, kejayaan tersebut juga hasil sokongan daripada keluarga, guru dan rakan-rakan yang memberi semangat untuknya terus kekal mempamerkan kecemerlangan dalam kedua-dua bidang.

“Jadual harian saya sangat padat, pukul 5.30 pagi lagi saya sudah bangun untuk bersiap ke sekolah dan menjalani latihan pada sebelah petang diikuti kelas persediaan pada sebelah malam.

“Memang penat kalau difikirkan semula tetapi saya beruntung kerana mendapat semangat dan dorongan daripada guru, rakan serta doa daripada keluarga yang beri semangat supaya terus konsisten dalam belajar dan sukan.

“Alhamdulillah, rezeki saya, walaupun agak kecewa di Sukan SEA tapi Allah ganti dengan keputusan SPM hari ini. Saya anggap segala pengorbanan dan kerja keras sudah terbayar,” katanya ketika ditemui pemberita di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gunung Rapat di sini hari ini.

Menurut Muhammad Azeem, dia kini sedang dalam pertimbangan untuk menyambung pengajian di Amerika Syarikat sambil mengikuti latihan kerana telah mendapat tajaan biasiswa daripada beberapa kolej di sana.

Katanya, dia yang belum menetapkan jurusan yang akan dipilih dijangka terbang ke sana pada Januari ini.

“Mungkin keputusan saya hari ini biasa-biasa sahaja tetapi jika mereka tahu bagaimana jadual harian saya, apa yang saya buat di sekolah dan pengorbanan semasa SPM di mana masih keluar bertanding, saya lihat ini adalah kejayaan yang sangat berbaloi,” katanya.

Dalam Sukan SEA Hanoi 2021, Muhammad Azeem tampil selaku pelari pertama kuartet 4x100m yang turut dibarisi Muhammad Arsyad Md Saat, Muhammad Zulfiqar Ismail dan juara bertahan acara 100m lelaki, Muhammad Haiqal Hanafi.

Gandingan pelari negara itu berjaya meraih perak serta mencipta rekod kebangsaan baharu dengan 39.09s, meleburkan rekod terdahulu 39.27s yang dicatatkan oleh kuartet Nixson Kennedy, Muhammad Haiqal Hanafi, Khairul Hafiz Jantan dan Russel Alexander Nasir Taib pada Sukan SEA 2019 di Filipina.

Baca Lagi:

Nasib malang! Lelaki Malaysia menang laga ayam ditembak penduduk Thailand

Tular video pemain skuad Harimau Malaya rai kejayaan di kelab malam

Beli gereja lama jadi masjid demi bapa

CATEGORIES