UMNO tanding PRN bersama PH, tapi guna logo BN

UMNO tanding PRN bersama PH, tapi guna logo BN

UMNO tanding PRN bersama PH, tapi guna logo BN. UMNO memberi bayangan akan bertanding bersama Pakatan Harapan (PH) dalam enam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, namun memilih untuk kekal menggunakan logo Barisan Nasional (BN).

Perkara itu antara disentuh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melalui melalui Taklimat Presiden UMNO di hadapan lebih 3,000 perwakilan parti itu yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, hari ini.

Ketua Penerangan UMNO, Isham Jalil, mengesahkan persediaan UMNO untuk berdepan enam PRN iaitu di Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu, antara isu utama disentuh Ahmad Zahid dalam sesi taklimat berlangsung kira-kira sejam itu.

UMNO tanding PRN bersama PH, tapi guna logo BN

Katanya, Presiden UMNO turut menekankan peri pentingnya ahli dan pimpinan parti mengekalkan perpaduan dan solidariti untuk memastikan UMNO dapat bersedia sepenuhnya untuk berdepan PRN berkenaan.

“Hari ini bincang mengenai solidariti dalam UMNO. Perpaduan amat penting kerana kita akan berhadapan enam PRN.

“Hari ini kita bincang (mengenai kerjasama) dalam UMNO , (kerjasama) dengan orang lain itu belum bincang lagi,” katanya ketika ditemui pemberita selepas selesai taklimat hari ini.

Taklimat itu diadakan sempena Perhimpunan Agung UMNO 2022 (PAU 2022) yang membuka tirainya dengan perasmian serentak persidangan tiga sayap parti iaitu Wanita, Pemuda dan Puteri malam sehingga Sabtu ini.

Dalam pada itu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan pula ketika mengulas taklimat sama berkata, Ahmad Zahid menggesa ahli parti untuk bersikap optimistik bagi berdepan enam PRN yang perlu diadakan selewat-lewatnya pertengahan tahun ini.

Selain itu, katanya, Presiden UMNO itu juga menyentuh mengenai kepentingan kerjasama antara BN dan PH yang bakal memanfaatkan negara secara keseluruhan.

“Beliau (Ahmad Zahid) menggariskan bahawa kekuatan BN dan PH akan membuahkan formula baharu untuk negara,” katanya.

Seorang lagi Ahli MKT UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, memaklumkan Ahmad Zahid ada menggariskan hala tuju parti pada masa depan, khususnya peranan UMNO selepas menyertai kerajaan perpaduan bersama PH.

“Beliau menegaskan UMNO tidak akan lari daripada prinsip parti, khususnya dalam perjuangan untuk kepentingan negara, agama, mempertahankan Perlembagaan, kepentingan terus membela nasib orang Melayu dan rakyat keseluruhannya.

“Pada keseluruhannya ucapan mendapat reaksi yang baik dengan sambutan begitu mantap daripada perwakilan yang hadir,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Zahid melalui Facebook memaklumkan ruang Taklimat Presiden UMNO itu digunakan seluasnya untuk beliau meluahkan rasa, menzahirkan cerita dan menelusuri cabaran yang dihadapi sepanjang menakhodai bahtera UMNO.

“Biarlah hari ini, di dalam dewan keramat ini, kita bersama-sama membina semula gerakan parti kita. Perubahan serta pembaharuan yang akan dilaksanakan, kita bincangkan secara berjemaah.

“Dengan semangat musyawarah, saya yakin kita mampu bangkit dari rebah. Dengan keikhlasan, kita mampu mencipta kejayaan. Dengan doa kepada Allah, mudah-mudahan kita semua beroleh rahmah,” katanya.

Baca Lagi:
Sebenarnya M40 cuma pada hari gaji, selepas seminggu jadi B40
Kisah hidup Kazar sebelum jadi pelakon ramai orang tak tahu, pernah dapat gaji RM100 sebulan
“Nyaris hilang nyawa”, Wawa Zainal dedah air teh arab buat susah bernafas
CATEGORIES