Ukraine pelawa ibu Rusia jemput anak lelaki mereka yang ditangkap di Kyiv

Ukraine pelawa ibu Rusia jemput anak lelaki mereka yang ditangkap di Kyiv

Ukraine pelawa ibu Rusia jemput anak lelaki mereka yang ditangkap di Kyiv. Ukraine mempelawa ibu kepada tentera Rusia mengambil anak lelaki mereka yang ditawan di medan perang.

Kenyataan itu dibuat sebagai salah satu usaha untuk mengaibkan Moscow.

“Keputusan sudah dibuat untuk menyerahkan tentera Rusia yang ditangkap kepada ibu mereka jika datang untuk mengambil anak mereka di Kyiv,” kata Kementerian Pertahanan Ukraine dalam satu kenyataan.

Seminggu selepas pencerobohan Rusia ke atas Ukraine, Kyiv mendakwa menangkap puluhan tentera Rusia dan video telefon bimbit tersebar dalam talian menunjukkan pemuda yang memakai pakaian seragam kelihatan buntu dan melucutkan senjata.

Ukraine berusaha meraih sokongan warga Rusia terhadap pencerobohan itu dengan membuka talian telefon untuk ibu bapa Rusia yang ingin mengetahui sama ada anak lelaki mereka adalah antara yang maut atau ditangkap.

Kementerian Pertahanannya menyiarkan nombor telefon dan alamat e-mel untuk memberikan maklumat berhubung warga Rusia yang ditangkap, dan ibu akan dijemput ke Kyiv untuk mengambil anak lelaki mereka yang ‘hilang’.

“Kamu akan diterima dan dibawa ke Kyiv dan anak kamu akan dikembalikan.

“Tidak seperti Putin (Presiden Rusia Vladimir Putin), kami rakyat Ukraine tidak melancarkan perang terhadap ibu dan anak mereka yang ditangkap,” kata kementerian itu

Tentera Ukraine turut memuat naik video tawanan Rusia yang ditangkap dan ditempatkan di dalam bilik gelap serta mengutuk kelakuan tentera Rusia.

Walaupun video itu dirakam dengan tekanan, namun ia masih menarik perhatian.

Salah satu video menunjukkan seorang askar berkata, komandernya enggan memberitahunya ke mana unit itu pergi.

“Saya tidak tahu kami akan ke Ukraine, saya sudah ditipu,” kata seorang lagi.

“Kami ditipu dan digunakan seperti ‘perisai daging’,” kata seorang lagi, menurut terjemahan yang disediakan dalam klip itu.

“Kami bertindak seperti Nazi. Kami menyerang orang di sini, jadi mereka terpaksa mempertahankan wilayah mereka,” tambah seorang tentera.

“Semua yang mereka katakan kepada kami adalah dusta. Saya hanya tidak faham mengapa kami diberitahu semua ini di Rusia,” kata seorang tentera dalam video lain sambil bercakap dengan keluarganya.

“Kami ditinggalkan di sini seperti babi,” luah seorang tentera.

Dalam klip video lain, seorang anggota tentera yang ditangkap memberitahu ibunya; “Mereka menghantar kami mati, seluruh batalion. Semua orang terbunuh… Mereka tidak mengambil mayat pun,” katanya.

Pemuda itu juga memberi amaran supaya tidak membuat terlalu banyak masalah di rumah.

“Jika anda mula melawan, Perkhidmatan Keselamatan Persekutuan Rusia (FSB) akan memburu anda,” katanya, merujuk kepada agensi keselamatan Rusia.



Baca lagi:

Jeneral perang Rusia dibunuh Sniper di Ukraine

Angkara Rusia serang Ukraine, kucing Rusia pula jadi mangsa

Lelaki Ukraine tenggelamkan kapal layar mewah berharga RM28 juta milik ‘BOS’ nya

CATEGORIES
TAGS