Tunku Azizah disuruh menyamar jadi anak orang miskin. Disuruh menyamar sebagai anak orang miskin semata-mata hendak melihat apa reaksi anggota tentera di Johor apabila diminta tolong.
Itulah pendedahan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah mengenai sikap ayahandanya Almarhum Sultan Iskandar Sultan Ismail dalam satu wawancara bersama kumpulan wartawan tempatan baru-baru ini yang dimuat naik menerusi laman YouTube Utusan Online.
Titah baginda, meskipun ayahandanya bersikap tegas namun baginda seorang yang berjiwa rakyat dan sentiasa mengambil berat akan nasib rakyat jelata.
“Macam ayahanda saya pukul 12 tengah malam suruh saya pakai tudung, saya umur 10 tahun adik umur 7,8 gitu suruh pakai tudung pakai baju melayu pergi ke kem askar mana entah di Johor tu, suruh berlakon.
“Suruh ketuk-ketuk tanya tolonglah mak saya tengah sakit kat rumah saya nak minta tolong nie, sebab dia nak tengok askar tu guard ke tidur ke main-main, dia nak tengok.
“Berlakonlah kami 3 orang adik beradik 12 tengah malam dia hantar, kalaulah askar tu marah kita ke apa kan. Lepas tu bila orang tu kata nak tolong hah barulah dia datang dan kata ha bagus,” titah baginda berkongsi kehidupannya.
Tunku Azizah ialah puteri kepada Almarhum Sultan Iskandar iaitu Yang di-Pertuan Agong kelapan.
Almarhum merupakan Sultan Johor ke-24 sebelum mangkat pada Januari 2010.