Tular wanita datang ketuk pintu rumah ke rumah dan minta RM100 atau RM150. Baru-baru ini, tular sekeping gambar mengenai seorang wanita yang mengetuk pintu rumah beberapa penduduk untuk meminta wang.
Kemunculan wanita tersebut di kawasan perumahan di Indera Mahkota dan Taman Tas di Kuantan, Pahang telah menimbulkan keresahan dalam kalangan penduduk setempat.
Kebimbangan penduduk telah dikongsikan oleh seorang individu melalui laman Facebook Warga Kuantan OFFICIAL.
Wanita tersebut dilaporkan mengetuk pintu rumah satu persatu dan meminta RM100 atau RM150.
Menerusi perkongsian di laman Facebook tersebut, individu itu mengingatkan orang ramai agar lebih berhati-hati. Dia juga menyatakan bahawa wanita berkenaan mungkin cuba memukau mangsanya untuk menyerahkan wang yang diminta. Oleh itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuka pintu rumah kepada wanita tersebut.
“Pukau kuat ni, kerja nak dapat RM100 pun susah, apatah lagi nak bagi RM100 atau RM150. Kalau bagi memang kena lah tu,” tulis individu tersebut.
Menurut sumber, Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Wan Mohd Zahari Wan Busu, berkata pihaknya masih belum menerima sebarang laporan berkaitan kejadian tersebut. Beliau mengingatkan orang ramai agar memaklumkan perkara itu kepada balai polis berdekatan.
“Pihak kami memohon agar orang ramai segera melaporkan kepada balai polis yang terdekat atau terus membuat laporan polis jika didatangi oleh individu tersebut atau mana-mana individu yang berkemungkinan terlibat dalam jenayah,” katanya.