Tukang urut terselamat daripada kena rogol sebab datang bulan. Polis telah menahan seorang lelaki di wilayah Songkhla, selatan Thailand semalam kerana cuba memperkosa seorang tukang urut sebelum mengubah fikiran dan mencuri telefon bimbit mangsa. Lelaki tersebut berbuat demikian selepas mendapati wanita itu sedang haid, lapor laman berita Thaiger pada 26 Julai 2024.
Tukang urut berusia 28 tahun itu melarikan diri dan meminta bantuan seorang pemandu di daerah Hat Yai, Songkhla. Dia kemudian membuat laporan di Balai Polis Tung Lung dan menceritakan butiran kejadian.
Menurut tukang urut tersebut, suspek yang dikenali sebagai Teeraphat, 20, telah menghubunginya melalui aplikasi LINE.
Teeraphat mengupah mangsa untuk menyediakan perkhidmatan urut di sebuah resort berhampiran tempat kejadian dan menawarkan bayaran sebanyak 2,000 baht (RM258) baru-baru ini.
Ketika mangsa membonceng motosikal suspek menuju ke resort tersebut, Teeraphat mendakwa bahawa dia perlu ke tandas dan melencongkan motosikalnya ke sebuah ladang getah di tepi jalan.
Teeraphat didakwa mencampakkan mangsa ke tanah dan cuba melakukan perkara tidak senonoh terhadapnya.
Namun, Teeraphat menghentikan niat jahatnya apabila mendapati mangsa sedang haid. Dia kemudian melarikan telefon bimbit wanita berkenaan.
Polis menahan Teeraphat semalam di rumahnya di daerah Namom, Songkhla. Teeraphat mengaku perbuatannya dan memberi alasan bahawa ketika kejadian, isterinya sedang hamil.
Laman berita DailyNews melaporkan bahawa polis telah mengeluarkan pertuduhan terhadap Teeraphat tanpa memberikan butiran lanjut.