‘Tuan Usu’ pengendali aliran kewangan GISBH ditahan polis. Seorang individu dikenali sebagai Tuan Usu disyaki bertanggungjawab mengurus dan mengendalikan aliran kewangan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) telah ditahan oleh pihak polis pada Sabtu lalu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata Tuan Usu ditangkap menerusi Op Global Fasa 4 di Butterworth, Pulau Pinang.
“Dia ditangkap selepas pihak polis menangkap pemimpin utama GISBH, Nasiruddin Mohd Ali, di ibu negara minggu lalu. Pada masa ini, siasatan susulan masih dijalankan terhadap suspek bersama beberapa pemimpin lain, termasuk meneliti semua akaun yang berkaitan dengannya.
“Dari situ, kita akan menjejak segala bentuk transaksi yang berkemungkinan mempunyai kaitan dengan GISBH,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Sebelum ini, Facebook PUKAS Malaysia mendedahkan Tuan Usu disyaki sebagai salah satu individu penting yang mengendalikan aliran tunai untuk GISBH.
Media sebelum ini melaporkan bahawa seramai 19 individu yang dipercayai merupakan pimpinan tertinggi GISBH ditangkap di sebuah kediaman di Jalan Imbi pada 19 September lalu.
Antara yang ditahan termasuk Ketua Pegawai Eksekutif GISBH, Nasiruddin, bersama isteri dan dua anaknya dalam serbuan yang dilakukan pada pukul 5.40 pagi.
Dalam perkembangan yang sama, laman Facebook PUKAS turut mendedahkan kutipan sumbangan yang diperoleh GISBH melebihi RM2.3 juta melalui 58 zon di seluruh dunia.
Dikatakan bahawa duit tersebut akan diuruskan oleh wakil-wakil setiap zon melalui akaun peribadi, wang tunai, dan emas sebelum disalurkan kepada pengutip dana, iaitu Shuhaimee dan seorang wanita dikenali sebagai Hamimah.
Wang berkenaan akan diagihkan kepada 10 individu penting, sama ada untuk disimpan atau digunakan untuk membeli aset di atas nama peribadi ahli-ahli, selain sebahagian kecil untuk pengaliran tunai perniagaan anak-anak syarikat di bawah GISBH.