Treler rempuh kereta, dua anak maut depan mata bapa

2 maut bapa RESIZE e1654311347973

Treler rempuh kereta, dua anak maut depan mata bapa.

Luluh hati seorang bapa apabila hanya mampu melihat empat anak yang terpe­rangkap dalam kereta dirempuh treler dalam kemalangan di Kilometer 310.4, Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan dekat Kampar semalam.

Nahas sekitar pukul 2.30 pagi itu mengorbankan Nurqalesya Adriana Jaafar, 12, di tempat kejadian, manakala adik lelakinya, Muhammad Saiful Amry, 9, pula menghembuskan nafas terakhir di Hospital Tapah.

Dua anak lain berusia 14 dan enam tahun hanya cedera ringan.

Mengimbas kejadian tragis itu, Jaafar Ahmad, 49, berkata, sebelum kejadian, kereta jenis Proton Iswara dipandunya melanggar sebuah lori di hadapan sehingga menyebabkan enjin kenderaan itu mati.

Katanya, dia dan tunang yang berjaya keluar dari kereta cuba mengeluarkan empat anaknya itu, namun gagal kerana pintu belakang tersekat kesan hentaman dari kemalangan.

“Ketika itu tiada kenderaan lain dan lokasi kejadian gelap. Saya minta tunang nyalakan lampu di telefon bimbit sebagai tanda amaran sebelum sebuah tre­ler dilihat menuju ke arah kami.

“Saya segera berdiri di tengah jalan dan menjerit minta treler itu berhenti, namun kenderaan berat berkenaan hanya menekan brek setelah begitu hampir dan merempuh kereta menyebabkan ia berpusing sebelum melanggar bahagian hadapan Proton Iswara.

“Kejadian itu berlaku depan mata saya, anak-anak mati di hadapan saya. Ketika lihat treler itu menghentam kereta, saya fikir habislah anak-anak aku,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Tapah di sini semalam.

Treler rempuh kereta, dua anak maut depan mata bapa

Menurutnya, dia yang terkejut segera menerpa ke arah kereta yang remuk teruk untuk melihat keadaan empat anak kesaya­ngannya itu.

Katanya, sebaik pintu berjaya dibuka, dia segera memangku Muhammad Saiful Amry yang ketika itu tersepit di bahagian kaki.

“Ketika itu, saya tidak nampak kakak (Nurqalesya Adriana) sebab saya lihat keadaan Aboy (Muhammad Saiful Amry) teruk. Walaupun masih bernafas, ba­nyak darah keluar dari mulut dan hidungnya,” katanya.

Jaafar berkata, ketika kejadian mereka dalam perjalanan dari Baling, Kedah ke rumah bekas isterinya di Bahau, Negeri Sembilan untuk menghantar empat beradik itu sempena cuti hujung minggu.

Katanya, anak-anaknya begitu seronok untuk berjumpa ibu mereka terutama Nurqalesya Adriana dan Muhammad Saiful Amry dengan membawa banyak baju seolah-olah mahu bercuti lama.

“Semalam, Nurqalesya menang tempat pertama acara olahraga di sekolah, bila saya balik kerja dia beritahu tidak mahu jadi atlet sebab nanti kena pergi jauh dan tinggalkan saya.

“Aboy pula bila dengar kata kakaknya, dia pun sama tidak mahu ke mana-mana. Dia cakap tidak mahu berpisah dengan Qalesya kerana mereka berdua memang rapat.

“Sekarang pun, saya tidak tahu macam mana mahu terangkan kepada anak bongsu mengenai abang dan kakaknya, sebab dua beradik itu memang tidak pernah tinggalkan adik mereka,” luahnya.

Tambahnya, anak kelima dan keenam daripada tujuh beradik itu akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Lela, Kampung Pegang di Baling, Kedah semalam.

Baca Lagi:

Ibu sempat ajar kalimah syahadah setelah melihat jasad anak tertiarap di tepi jalan

Penumpang rakam detik cemas dalam pesawat ketika alami ‘Air Turbulence’

Sakit perut bongkar abang rogol adik sehingga mengandung

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *