Topi keledar pernah dipakai IShowSpeed dijual hingga RM250,000, netizen persoal apa jasa dia pada negara? Baru beberapa minggu pencipta kandungan YouTube, IShowSpeed, datang ke Malaysia, kini tular dakwaan bahawa topi keledar yang dipakai oleh lelaki itu dijual semula dengan harga ratusan ribu ringgit.
Melalui sebuah hantaran di Facebook, sebiji topi keledar jenama MS88 yang dikatakan dipakai oleh IShowSpeed semasa di Malaysia dijual dengan harga mencecah RM250,888.
Carian di laman Facebook juga mendapati terdapat sebiji lagi topi keledar yang didakwa pernah dipakai oleh pempengaruh itu, yang dijual dengan harga RM250.
Tinjauan di ruangan komen menunjukkan bahawa rata-rata pengguna terkejut melihat harga yang ditetapkan bagi topi keledar tersebut.
“Bila orang kata taksub, marah, tak habis-habis ulang pasal dia tunjuk kat dunia tentang negara yang dia lawat, sedangkan dia datang sini bukan untuk memperkenalkan tradisi Malaysia pun,” kata Fyrus.
“Dia siapa? Apa jasa dia pada negara sampai begini sekali nak jual semula barang yang dia pernah pakai?,” soal Khidir.
“Jangan biasakan mentaliti begini di Malaysia. Berpada-pada kalau nak minat seseorang sekalipun,” tegur Fariha.