Tok Mun bekas calon bebas tertua dalam PRU, berkempen seorang diri hanya dengan mengayuh basikal

Tok Mun bekas calon bebas tertua dalam PRU, berkempen seorang diri hanya dengan mengayuh basikal

Tok Mun bekas calon bebas tertua dalam PRU, berkempen seorang diri hanya dengan mengayuh basikal. BILA bercerita tentang pilihan raya dalam negara kita, masihkah anda ingat akan seorang wanita tua yang bertanding atas tiket calon bebas dalam PRU ke 12 dan ke 13 yang lalu?

Maimun Yusuf atau lebih mesra dipanggil Tok Mun merupakan calon wakil rakyat tertua yang pernah bertanding untuk parlimen Kuala Terengganu dalam PRU 12 dan PRU 13.

Dikenali dengan lambang kunci, Tok Mun hanya berbasikal seorang diri untuk berkempen tentang dirinya.

Pada tahun 2008, Tok Mun mengejutkan ramai orang apabila bertanding dalam PRU ke 12 ketika berusia 89 tahun. Namun, Tok Mun tewas kepada calon Barisan Nasional, Datuk Razali Ismail yang juga Timbalan Menteri Pelajaran yang memperolehi 32,562 undi. Manakala Tok Mun hanya meraih 685 undi dan hilang wang deposit.

Tok Mun bekas calon bebas tertua dalam PRU, berkempen seorang diri hanya dengan mengayuh basikal

Pada PRU ke 13, sekali lagi Tok Mun mengejutkan ramai orang bila kembali bertanding dan menyerahkan borang pencalonannya kepada SPR pada 20 April 2013. Tok Mun masih bertanding di kerusi yang sama.

Pun begitu, Tok Mun masih kalah dalam pertandingan kedua ini dengan hanya memperolehi 182 undi, menyebabkan sekali lagi beliau hilang duit deposit sebanyak RM10,000. Pemenang ketika itu ialah Raja Kamarul Bahrin dari PAS yang mendapat 45,828 undi.

Pada PRU ke-14 yang berlangsung pada tahun 2018, Tok Mun yang ketika itu berusia 99 tahun tidak bertanding kerana tidak mempunyai wang. Walaupun kecewa, namun Tok Mun tetap bersemangat dan memberitahu akan mengumpul duit supaya dia dapat bertanding pada PRU ke 15 nanti. Malah, beliau tidak pernah menyesal bertanding dan hilang wang pertaruhan.

Ketika usianya sudah hampir mencecah satu abad, wanita ini masih kuat bergerak ke sana ke mari dan mempunyai ingatan yang baik. Pernah ditanya, apa rahsia beliau sihat dan masih cergas di usia begitu, Tok Mun menjawab mungkin kerana amalan hariannya yang sentiasa aktif melakukan pelbagai kegiatan dan rajin mengaji.

Tok Mun bekas calon bebas tertua dalam PRU, berkempen seorang diri hanya dengan mengayuh basikal

Sayangnya, Allah lebih menyayangi wanita ini. Hasrat Tok Mun mahu bertanding di PRU 15 tidak kesampaian apabila beliau meninggal dunia pada 3 Julai 2022 di usia 103 tahun di rumahnya di Kampung Atas Tol, Kuala Terengganu.

Sesetengah orang mungkin berpandangan sinis dengan kecekalan Tok Mun yang gigih bertanding walaupun dia sendiri bukan orang senang dan sukar mengumpulkan wang deposit. Tidak kurang juga yang mengatakan ia hanya kerja sia-sia dan membazir apabila wang deposit itu lebur begitu sahaja.

Tetapi jika dilihat dari sudut lain, berapa ramai rakyat marhaen yang mempunyai semangat juang seperti Tok Mun yang gigih mencuba untuk masuk ke dalam politik. Masihkah kita dapat melihat orang seperti Tok Mun dari kalangan rakyat susah yang berani tampil mewarnai landskap politik negara di masa akan datang?

Baca Lagi:
Surat terbuka dari Tun M kepada pengundi
Bekas menteri agama pesan kepada Anwar, berhati-hati dengan penasihat jahat
Perjumpaan pemimpin PAS dan Umno di Tropicana Golf Resort bakal gulingkan kerajaan Anwar?
CATEGORIES