Tok Mat, KJ dan Hishamuddin dijangka bertanding jawatan Presiden UMNO

Tok Mat, KJ dan Hishamuddin dijangka bertanding jawatan Presiden UMNO

Tok Mat, KJ dan Hishamuddin dijangka bertanding jawatan Presiden UMNO. Biarpun pemilihan UMNO mungkin bakal dilaksanakan selewat-lewatnya pada Mei depan, namun timbul persoalan ada atau tidak pemimpin yang mahu membawa watak ‘Hang Jebat’ mencabar kedudukan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai Presiden.

Ini kerana di atas kertas Ahmad Zahid hampir mustahil untuk dikalahkan kerana Ahli Parlimen Bagan Datuk berkenaan bukan hanya mendapat sokongan padu daripada sebahagian besar Ketua Bahagian dan pemimpin UMNO di peringkat akar umbi, malah daripada kerajaan campuran pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Malah, pengaruh dan sokongan pemimpin akar umbi UMNO terhadap Ahmad Zahid semakin bertambah apabila beliau diangkat menjadi Timbalan Perdana Menteri (TPM) serta Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.

Tok Mat, KJ dan Hishamuddin dijangka bertanding jawatan Presiden UMNO

Pun begitu, di sebalik kelebihan itu tidak dinafikan prestasi buruk UMNO pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menyebabkan ada suara-suara mendesak Ahli Parlimen Bagan Datuk berkenaan mengundurkan diri daripada jawatannya atau mungkin berdepan cabaran pada pemilihan nanti.

Dua nama yang disebut-sebut mungkin akan mencabar Zahid untuk merebut jawatan nombor satu dalam pemilihan UMNO nanti ialah mantan Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin dan Ahli Parlimen Semberong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dan tiga Naib Presiden iaitu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Datuk Seri Mahdzir Khalid pula dijangka mempertahankan jawatan disandang mereka sekarang dan tidak akan berani melawan arus menentang Zahid.

SUKAR KALAHKAN ZAHID

Penganalisis politik dan hubungan antarabangsa dari Universiti Utara Malaysia, Profesor Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, beliau tidak menolak kemungkinan ada pemimpin tertentu akan mencabar kedudukan Ahmad Zahid selaku Presiden dalam pemilihan parti berkenaan nanti.

Bagaimanapun, Mohd Azizuddin berkata, peluang pemimpin tertentu untuk menggugat kedudukan Ahmad Zahid amat sukar kerana Ahli Parlimen Bagan Datuk itu mempunyai sokongan kuat dalam parti termasuk daripada Ketua Bahagian dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.

Ini kerana kebanyakan MKT memang terdiri daripada pemimpin yang berada dalam kem Zahid lantaran penentang Presiden sudah dikeluarkan daripada MKT sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

“Tambahan pula, Ahmad Zahid juga sekarang memegang jawatan sebagai TPM dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, jadi peluang untuk pemimpin lain mencabarnya agak sukar. Malah, saya rasa pemimpin seperti KJ (Khairy Jamaluddin) sukar mencabar kedudukan Ahmad Zahid selaku Presiden UMNO kerana beliau tidak mempunyai sebarang jawatan dalam parti, bahkan bukan juga ahli Parlimen.

“KJ pernah mencabar Ahmad Zahid semasa masih Ahli Parlimen pada 2018 tetapi tidak berjaya… sekarang lagi sukar kerana beliau tidak mempunyai sebarang jawatan dan tanpa sokongan pemimpin UMNO sendiri.

“Ini kerana pemimpin akar umbi UMNO akan membuat perbandingan dari segi kedudukan dalam kerajaan dan siapa yang menjadi lawan Presiden. Jadi jawatan TPM dan Menteri Kabinet yang kini disandang oleh Ahmad Zahid memberi kelebihan kepadanya untuk mempertahankan kerusi Presiden disandang oleh beliau sekarang,” katanya.

Mohd Azizuddin juga melihat kemungkinan Mohamad tidak akan ‘membahayakan’ dirinya dengan mencabar kedudukan Ahmad Zahid, sebaliknya Ahli Parlimen Rembau itu besar kemungkinan akan kekal sebagai Timbalan Presiden UMNO.

“Biarpun Hishammuddin berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Semberong namun beliau sukar untuk menyaingi kedudukan Ahmad Zahid selaku Presiden UMNO kerana bekas Naib Presiden UMNO tidak mempunyai jawatan dalam parti dan kerajaan sekarang.

“Begitu juga dengan Ismail Sabri, biarpun beliau merupakan bekas Perdana Menteri, namun Ahli Parlimen Bera berkenaan akan memilih untuk kekal sebagai Naib Presiden dan tidak akan mengambil risiko mencabar Ahmad Zahid, pada pemilihan parti kali ini,” katanya.

Berikutan itu, Mohd Azizuddin menjangkakan persaingan sengit lebih terfokus kepada jawatan Timbalan Presiden, Naib Presiden dan Ahli MKT dalam pemilihan UMNO yang perlu diadakan dalam tempoh enam bulan selepas PRU15 melaburkan tirainya pada 19 November lalu.

TIDAK HALANG

Setiausaha Agung Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub berkata, beliau menjangka tidak ramai pemimpin UMNO akan berani mencabar kedudukan Ahmad Zahid selaku Presiden UMNO dalam pemilihan akan datang selepas Ahli Parlimen Bagan Datuk itu kini dilantik menjadi TPM dan Menteri.

Mustapha berkata, biarpun Ahmad Zahid tidak akan menghalang mana-mana pemimpin UMNO mahu mencabar kedudukannya dalam pemilihan UMNO, namun mungkin hanya berapa kerat sahaja berani berbuat demikian.

“Kalau pemilihan berlaku sebelum PRU15 mungkin ramai berani mencabar Ahmad Zahid selaku Presiden UMNO kerana beliau tidak mempunyai sebarang jawatan dalam kerajaan, namun sekarang selepas beliau diangkat menjadi TPM maka tidak ramai berani berbuat demikian.

“Kalau ada yang berani mencabar kedudukan Ahmad Zahid pun, mereka sukar menang. Sebelum ini Ahmad Zahid sendiri pernah menyatakan beliau tidak akan menghalang sesiapa sahaja mahu mencabarnya tetapi beliau tetap mahu mempertahankan jawatan berkenaan,” katanya kepada wartawan Sinar Premium, pada Ahad.

Bagaimanapun, biarpun apapun analisis mahu pun ramalan, namun segalanya terserah kepada lebih 150,000 perwakilan UMNO dari seluruh negara untuk menentukan sama ada mereka mahu mengekalkan Ahmad Zahid menjadi Presiden atau memilih individu lain untuk mentrasfomasikan parti berkenaan.

Baca Lagi:
Nad Zainal dan Ungku Ismail mahu umumkan khabar gembira buat peminat
“Hari ini ada rezeki lebih sikit”,- Ayah hanya mampu belikan plastik sebagai mainan untuk anak-anak
Pengerusi AFL Datuk Mohd Yusoff Mahadi terkejut logo kelab Melaka ditukar
CATEGORIES