Tiga sekeluarga berdepan tali gantung

Tiga sekeluarga berdepan tali gantung

Tiga sekeluarga berdepan tali gantung. Tiga sekeluarga didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan mengedar dan memiliki dadah di Taman Sri Pulai Perdana, di sini awal tahun ini.

Tertuduh, iaitu pasangan suami isteri, S. Avinash Anantha, 33, dan isterinya, K. Elengkeswary, 32, serta adiknya, S. Rajiv Anantha, 28, mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, R. Salini.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh kerana didakwa mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Tiga sekeluarga berdepan tali gantung

Berdasarkan pertuduhan pertama, ketiga-tiga mereka secara bersama telah mengedar dadah berbahaya jenis kanabis seberat 23,810 gram di sebuah rumah di Jalan Pulai Perdana 7/3, Taman Sri Pulai Perdana, Johor Bahru, pada pukul 12.30 pagi, 10 Januari lalu.

Atas kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 (pindaan 1980) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan tidak kurang daripada 15 sebatan.

Manakala bagi pertuduhan kedua, mereka secara bersama didakwa memiliki 171 gram ketamin di lokasi dan pada masa sama.

Atas kesalahan itu, mereka didakwa di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di
bawah Seksyen 12(3) akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak lebih daripada lima tahun atau kedua-dua sekali jika disabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aina Shakira Muhammad Syafiq Sim manakala kesemua tertuduh diwakili peguam, Datin Freda Josephine Gonzales.

Mahkamah kemudian menetapkan 15 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes manakala tiada sebarang jaminan ditawarkan kepada kesemua tertuduh.

Pada 10 Januari lalu, Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat dilaporkan berkata, pasangan suami isteri berkenaan merupakan dalang kepada sindiket pengedaran dadah yang menjadikan rumah teres serta kereta sebagai stor simpanan untuk transit dadah yang disyaki diseludup dari utara tanah air sebelum diedarkan ke pasaran tempatan selain dieksport ke negara jiran berdekatan.

Menurut beliau, sindiket terbabit disyaki telah menjalankan kegiatan haram itu sejak Oktober tahun lalu.

Baca Lagi:
Hairan tiada penumpang, kisah seram pemandu teksi
Kancil jalan ‘gostan’ di tengah jalan raya raih pelbagai reaksi orang ramai
JPJ senarai 7 kesalahan jalan raya dikuatkuasakan tanpa kompaun
CATEGORIES