
Tidak pernah dibuka, Coklat Cadbury berusia 121 tahun kini dilelong
Tidak pernah dibuka, Coklat Cadbury berusia 121 tahun kini dilelong. Coklat Cadbury berusia 121 tahun yang diberikan sebagai cenderahati sempena pertabalan Raja Edward VII dan Ratu Alexandra bakal dilelong dengan nilai antara 100 Pound Sterling (RM595) hingga 150 Pound Sterling (RM893).
Menariknya, coklat berkenaan masih tidak dibuka dari tinnya dan belum dimakan selama lebih satu abad.
Manisan itu diawet Cadbury sempena majlis pertabalan berkenaan.
Coklat itu diberikan kepada Mary Ann Blackmore yang berusia sembilan tahun di sekolahnya pada tahun itu.
Dia tidak memakannya tetapi memutuskan untuk menyimpan cenderahati itu sebagai kenang-kenangan sempena majlis itu.
Coklat vanila itu diturunkan melalui keluarga sehingga ke cucunya, Jean Thompson, 72, yang akhirnya membawa tin itu kepada pusat lelongan, Hansons Auctioneers di Derby.
Morven Fairlie, dari Hansons Auctioneers berkata, pada masa itu, kanak-kanak jarang mendapat coklat.
“Ia jelas hadiah istimewa kepada kanak-kanak itu sehingga dia fikir dia tidak boleh menyentuhnya,” katanya dalam Sky News.
Fairlie berkata, mereka menjangkakan coklat itu boleh dilelong antara RM595 hingga RM893.
“Mungkin nilainya boleh melonjak tinggi kerana sejarahnya. Ia bergantung kepada siapa yang suka mengumpul memorabilia diraja dan mengumpul barang dari masa lalu,” katanya.
Katanya, coklat berusia 121 tahun itu sudah tamat tempoh.
“Tiada sesiapa yang akan memakannya. Jika anda membuka tin, ia memang berbau coklat, tetapi saya tidak mahu mengambil risiko,” katanya.